Cari:
Jerebu Melanda Singapura
2013-06-24 16:32:40 CRI Cetak

Singapura yang dikenali sebagai "bandar taman" dilanda jerebu teruk sejak seminggu yang lalu. Kadar Indeks Standard Bahan Cemar (PSI) terus-menerus memecah rekod di negara tersebut dan sudah melebihi 400. Bencana ini amat menjejaskan hidup rakyat.

Jerebu tersebut diakibatkan oleh aktiviti pembakaran di kawasan desa Indonesia. Pada bulan Jun hingga September setiap tahun, petani di Pulau Sumatera membersihkan tanah ladang dengan membakar kawasan hutan. Setiap tahun pada masa ini, Singapura akan dilanda jerebu teruk dan keadaan ini sudah berlarutan selama lebih 20 tahun. Keadaan jerebu pada tahun ini jauh lebih buruk berbanding dahulu, dan sudah mencecah tahap yang paling bahaya dalam sejarah.

Beberapa hari kebelakangan ini, kerajaan Singapura melaporkan indeks pencemaran kepada rakyatnya melalui pelbagai saluran dan menasihati penduduk supaya mengelakkan diri daripada keluar dari rumah.

Kerajaan negara tersebut juga menubuhkan Jawatankuasa Antijerebu Peringkat Menteri untuk mengatasi masalah ini. Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong turut menghantar utusan khas ke Indonesia untuk berbincang mengenai penyelesaian bagi masalah tersebut. Menurut kerajaan Singapura, pihaknya bersedia untuk memberikan bantuan kepada Indonesia untuk memadam kebakaran hutannya.

Jerebu ini turut menjejaskan industri pelancongan Singapura. Beberapa tarikan pelancongan di negara itu telah ditutup buat sementara dan persembahan luar telah dibatalkan. Jumlah pelawat di destinasi pelancongan yang lain juga berkurang. Sebilangan pakar berpendapat bahawa sekiranya jerebu ini berterusan, industri pelancongan negara itu akan merasai kesan negatifnya pada suku tahun ketiga tahun ini.

Bulan Jun hingga Julai merupakan kemuncak bagi pelancongan di Singapura, dan juga musim diskaun beli-belah yang setiap tahun menarik ramai pelancong datang untuk membeli-belah. Tahun ini, disebabkan jerebu yang teruk, rakyat Singapura sendiri tidak sanggup pergi membeli-belah, apatah lagi pelancong dari luar negara. Menurut jangkaan pakar, jika jerebu tersebut berterusan hingga lebih satu bulan, bukan sahaja kedai-kedai di Singapura akan menghadapi penurunan pendapatan, malah hotel dan syarikat penerbangan akan mengalami kerugian yang besar. Singapura akan menanggung kerugian sebanyak SGD 1 bilion, bahkan kadar pertumbuhan ekonomi negara tersebut juga akan merosot 0.3% hingga 0.5%.

Jerebu yang serius pernah dua kali berlaku dalam sejarah Singapura, iaitu pada tahun 1997 dan 2006. Jerebu yang melanda pada tahun 1997 itu berlarutan selama tiga bulan, dan merosakkan hidup rakyat. Disebabkan jerebu itu, Singapura mengalami kerugian sebanyak USD 300 juta yang hampir 80% daripadanya melibatkan industri pelancongan. Menurut pakar, sekiranya jerebu kali ini juga berlarutan selama tiga bulan, kerugian ekonomi kali ini pasti jauh lebih besar daripada dahulu, kerana nilai industri pelancongan negara itu sekarang jauh lebih tinggi daripada dahulu.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China