Menurut media Jepun, Timbalan Perdana Menteri, Taro Aso menyatakan di Tokyo pada 29 Julai bahawa jika Jepun mempelajari pengalaman Nazi dalam melaksanakan perlembagaannya, rakyat Jepun tidak akan mempersoalkan lagi, malah menerima hakikat pemindaan perlembagan negara itu.
Penganalisis berpendapat bahawa kenyataan Taro Aso yang memuji Nazi itu akan diberi perhatian seluruh dunia dan perlu dikutuk oleh masyarakat antarabangsa. Selepas Parti Liberal Demokratik (LDP) memenangi pilihan raya Dewan Senat yang membolehkan parti itu menguasai kedua-dua dewan Parlimen, Taro Aso berharap mencontohi pengalaman Nazi dan melaksanakan pemindaan perlembagaan dengan secepat mungkin.
Kenyataan Taro Aso itu ditentang keras oleh pelbagai pihak. Para sarjana berpendapat bahawa kenyataan tersebut jelaslah merupakan provokasi terhadap masyarakat antarabangsa. Rakyat seluruh dunia patut bersama-sama mengutuk kenyataan itu dan bertindak untuk mengekang kuasa sayap kanan Jepun.
Bekas ahli parlimen Jepun, Nobuhiko Shuto berasa amat terkejut dan marah dengan kenyataan Taro Aso itu. Di Jerman, sebarang kenyataan yang memuji-muji Nazi adalah menyalahi undang-undang. Walaupun tiada undang-undang seumpama itu di Jepun, namun kenyataan Taro Aso itu tidak sepatutnya diujarkan oleh seorang ahli politik, bahkan dapat menjadi bukti bahawa Jepun tidak menghiraukan hak asasi manusia.
Itali merupakan salah satu negara sekutu Jerman dalam Perang Dunia II. Walaupun Itali tidak menggubal undang-undang yang melarang ucapan sedemikian, tetapi kebanyakan rakyat negara itu masih menganggap sejarah Fasis dan Nazi sebagai mengaibkan negara mereka.
Jurucakap Kementerian Luar Republik Korea (RoK) berkata semalam bahawa ucapan Taro Aso itu ternyata melukai perasaan ramai orang, terutamanya generasi yang hidup pada zaman itu, negara-negara yang pernah dicerobohi oleh Jepun, malah sesiapa sahaja yang mempunyai hati nurani.
Seorang pakar Asia Timur dari Jerman pula berpendapat bahawa masyarakat antarabangsa memang patut berasa bimbang dengan ucapan Taro Aso itu. Tindakan kuasa sayap kanan Jepun mungkin akan meruncingkan lagi pertikaian Jepun dengan China dan Republik Korea, dan tidak bermanfaat bagi kestabilan rantau Asia timur.