Cari:
China-ASEAN Gariskan Rangka Tindakan Hubungan 10 Tahun
2013-08-05 14:33:42 CRI Cetak

Menteri Luar China, Wang Yi menyampaikan ucapan dalam Forum Peringkat Tinggi China-ASEAN.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 terjalinnya hubungan rakan strategik China-ASEAN. Satu forum China-ASEAN yang berperingkat tinggi telah diadakan di Bangkok baru-baru ini bagi tujuan mengimbas kembali hubungan China-ASEAN dalam tempoh sedekad yang lalu, di samping terus meneroka prospek hubungan ini bagi masa akan datang. Timbalan Perdana Menteri Thailand merangkap Menteri Luar, Surapong Tovichakchaikul dalam forum itu berkata bahawa China dan ASEAN telah menjalinkan hubungan kerjasama yang kuat dan bersifat pragmatik dalam tempoh sedekad yang lalu. Hubungan itu telah meningkat ke satu tahap yang baharu hasil kerjasama yang tercapai dalam pelbagai bidang.

Menteri Luar China, Wang Yi dalam forum itu berkata bahawa China tetap mengutamakan hubungan dengan ASEAN dalam usaha diplomasinya. Usaha bersama dalam memelihara keamanan dan kestabilan serantau antara asas utama bagi perkembangan hubungan China-ASEAN selama ini. Kedua-dua pihak juga bersepakat untuk mempergiat kerjasama bagi mempercepat pembangunan bersama dan menangani perselisihan melalui dialog yang mesra dan sama rata.

Pakar isu Asia Tengara dari Institut Hubungan Antarabangsa Semasa China, Zhai Kun berpendapat bahawa usaha menggaris rangka tindakan pembangunan hubungan China-ASEAN bagi tempoh 10 tahun akan datang antara tumpuan utama dalam forum kali ini. Menurut beliau, China dan ASEAN perlu menaik taraf bukan hanya Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) malah juga hubungan keseluruhan China-ASEAN.

Walau bagaimanapun, perkembangan hubungan China-ASEAN kadang-kadang menghadapi faktor-faktor yang tidak menentu, namun menurut para peserta, faktor-faktor tersebut tidak akan menjejaskan hubungan kedua-dua pihak pada keseluruhannya. Surapong Tovichakchaikul berkata, walaupun terdapatnya perselisihan antara China dengan beberapa negara ASEAN berhubung kedaulatan wilayah di darat dan di laut, namun usaha memelihara keamanan serantau tetap merupakan matlamat bersama. Dalam konteks ini, dialog dan rasa saling mempercayai amat diperlukan bagi menangani isu-isu sensitif. Tambah beliau, Laut China Selatan tidak seharusnya menjadi "meter suhu" bagi hubungan China-ASEAN, sebaliknya ia perlu menjadi laut yang menyumbang kepada kerjasama dan saling mempercayai antara kedua-dua pihak.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China