Sukan Belia Asia (AYG) ke-2 dirasmikan di Nanjing, China pada 16 Ogos yang lalu. Selain stadium dan pengaturan acara yang baik, jawatankuasa penganjur telah menubuhkan pusat perkhidmatan agama demi memenuhi keperluan para atlet yang menganut pelbagai agama.
Pegawai hal ehwal agama, Zhu Lihuang menyatakan, hal ehwal agama merupakan perkara yang penting bagi AYG kali ini. Selain itu, temasya sukan kali ini menyediakan wadah bagi bandar Nanjing untuk menunjukkan kemudahan agama dan makanan halalnya kepada masyarakat antarabangsa. Beliau berkata, "Semalam ialah hari Jumaat, lebih 40 orang saudara Islam bersolat berjemaah. Mereka amat kagum dengan usaha pihak penganjur yang menyediakan perkhidmatan dan kemudahan untuk atlet yang beragama Islam."
Doktor bagi kontinjen Malaysia, Mohd Khamizi bin Aziz berkata, "Saya pertama kali ke China. Perkhidmatan perkampungan AYG amat memuaskan. Imam amat bertanggungjawab dan profesional."
Lebih 47% atlet yang menyertai temasya sukan kali ini beragama Islam. Pihak penganjur telah memberikan perhatian yang tinggi tentang makanan halal. Zhu Lihuang berkata, "Kesemua bahan makanan untuk atlet, khususnya daging lembu, kambing, ayam, itik dan angsa mempunyai sijil halal yang dijamin oleh jabatan agama."
Putera Brunei Darussalam, Sufri Bolkiah dan Menteri Sumber Manusia Singapura, Tan Chuan Jin setelah melawat ke perkampungan AYG memuji-muji perkhidmatan yang tersedia untuk para atlet Islam.
Pegawai Jawatankuasa Olimpik, Mohd Alif berkata, "Perkhidmatan penginapan, makanan dan agenda pertandingan kali ini sangat memuaskan. Para sukarelawan amat mesra dan menyediakan perkhidmatan yang sungguh baik kepada kontinjen kami."