Xu Ningning menyatakan bahawa dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, hubungan rakan strategik China-ASEAN berkembang secara menyeluruh dan mendalam, terutamanya pembinaan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA). Ia bukan sahaja menggalakkan pertumbuhan ekonomi bersama, meningkatkan taraf hidup rakyat kedua-dua pihak, tetapi juga menggalakkan proses integrasi serantau.
Dalam 10 tahun ini, China dan ASEAN telah menubuhkan pelbagai mekanisme kerjasama dalam bidang politik, ekonomi, sains dan teknologi, kebudayaan, pendidikan, pelancongan, perkhidmatan kewangan dan lain-lain. Jumlah perdagangan China-ASEAN mencapai USD 400 bilion pada tahun 2012, meningkat lapan kali ganda berbanding tahun 2002.
Pada masa yang sama, pelaburan antara China dengan ASEAN juga berkembang pesat. Pada akhir tahun 2012, jumlah kontrak yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak mencecah angka USD 148 bilion. Xu Ningning berkata, sempena ulang tahun ke-10 terjalinnya hubungan strategik China-ASEAN, kedua-dua pihak sepatutnya mengambil kesempatan ini dan mengadakan pelbagai aktiviti dalam bidang ekonomi, kebudayaan, pendidikan, pelancongan dan lain-lain untuk memperkukuh mekanisme kerjasama pelaburan China-ASEAN dalam jangka panjang.
Xu Ningning menambah bahawa bagi CAFTA, kerjasama industri serantau adalah pilihan bijak bagi merealisasikan pembangunan bersama yang saling menguntungkan, sementara meningkatkan produktiviti serantau dan daya saing di pasaran antarabangsa. Dasar keutamaan CAFTA telah banyak menyumbang dalam kerjasama China dengan ASEAN, khususnya dalam meningkatkan keberkesanan dan taraf kerjasama, mewujudkan kelebihan yang saling melengkapi, serta memperluas rantaian industri dan meningkatkan nilainya. Kesemua ini langkah yang penting untuk mendorong penyusunan semula dan menaik taraf struktur industri domestik.
Beliau berkata, pada masa ini, ASEAN sedang melaksanakan "Pelan Kesalinghubungan ASEAN" yang memberi peluang kepada kerjasama industri antara China dan negara-negara ASEAN. China boleh mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan kerjasama industri dengan pelbagai pihak.