Presiden China, Xi Jinping akan melawat ke empat negara Asia Tengah iaitu Turkmenistan, Kazakhstan, Uzbekistan, dan Kyrgyzstan, serta menghadiri Sidang Kemuncak G20 Ke-8 dan Persidangan ke-13 Majlis Pemimpin Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO). Dalam rangka lawatan itu, Presiden Xi akan membentangkan dasar luar China terhadap negara-negara terlibat, dan mengemukakan cadangan baharu untuk meningkatkan lagi kerjasama antara China dengan Asia Tengah. Namun, pertemuan pemimpin China-Jepun tidak dimasukkan dalam agenda lawatannya.
Lawatan yang akan dimulakan pada 3 September itu merupakan lawatan pertama Presiden Xi ke Asia Tengah. Naib Menteri Luar China, Cheng Guoping dalam sidang media semalam berkata,
"Ini pertemuan langsung pertama Presiden Xi dengan pemimpin-pemimpin Asia Tengah. Dalam lawatan kali ini, beliau akan bertemu dengan Presiden Tajikistan dan kedua-dua pihak akan menandatangani beberapa dokumen kerjasama yang meliputi petroleum, komunikasi, pelaburan dan lain-lain. Selain itu, beliau akan menyampaikan ucapan mengenai dasar luar China terhadap rantau Asia Tengah di Universiti Nursultan Nazarbayev di Kazakhstan."
Pada 13 September, Presiden Xi akan menghadiri Persidangan Majlis Pemimpin ke-13 SCO di Bishkek, Kyrgyzstan. Persidangan itu dijangka akan meningkatkan lagi hubungan antara negara-negara anggota SCO.
Atas undangan Presiden Rusia, Vladimir Putin, Xi Jinping juga akan menghadiri Sidang Kemuncak G20 Ke-8 di St. Petersburg. Berlatar belakangkan pemulihan ekonomi dunia yang lembap, G20 yang merupakan mekanisme penting dalam ekonomi global mendapat perhatian yang meluas dari seluruh dunia. Dalam sidang media semalam, Naib Menteri Luar China, Li Baodong telah menerangkan harapan China terhadap Sidang Kemuncak G20 itu. Beliau berkata:
"Pihak-pihak terlibat perlu melaksanakan keputusan berhubung pembaharuan kuota dalam Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Hak perwakilan dan hak bersuara bagi pasaran baru muncul dan negara membangun perlu ditingkatkan dalam institusi kewangan antarabangsa. Selain itu, meningkatkan pengawalan dan penyeliaan kewangan untuk mengelakkan risiko."
Baru-baru ini, AS kerap kali menyatakan akan menarik balik dasar pelonggaran kuantitatif (QE), ini turut menimbulkan pergolakan pasaran kewangan di lebih 20 pasaran baru muncul. Oleh itu, topik tersebut akan hangat dibincangkan dalam Sidang Kemuncak G20 kali ini. Li Baodong berkata:
(rakaman 3)
"Negara-negara maju perlu melaksanakan dasar ekonomi makro yang bertanggungjawab. Dasarnya perlu dibincangkan dengan negara-negara berkenaan. Ini barulah rakan kongsi yang sebenar. Tahap kebergantungan ekonomi dunia amat tinggi, sesebuah negara tidak boleh mementingkan diri sendiri sahaja. Kesan limpahan perlu difikirkan, risiko harus dielakkan. Dengan ini, barulah pemulihan ekonomi dunia dapat direalisasikan dengan secepat mungkin."