Cari:
CAEXPO Penggalak CAFTA
2013-09-03 14:17:21 CRI Cetak

Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) Ke-10 telah dirasmikan di Nanning, wilayah Guangxi China hari ini. Pada pandangan pakar, sarjana dan pegawai dari China dan negara-negara ASEAN, CAEXPO selaku "penggalak" bagi pembangunan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) boleh memainkan peranan yang lebih besar untuk mendorong pelaburan dan kerjasama antara syarikat kedua-dua pihak.

Ahli ekonomi dari Institut Hubungan Antarabangsa, Akademi Diraja Kemboja, Ky Sereyvath berkata bahawa CAEXPO telah memainkan peranan yang amat penting bagi memperkasakan kerjasama serantau dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu. Kata beliau, "CAEXPO memainkan peranan yang penting dalam hubungan kerjasama serantau. Ekspo ini merupakan satu platform untuk mempamerkan produk dari China dan negara-negara ASEAN, malah produk dari semua negara di dunia. Ekspo ini juga memberikan peluang kepada Kemboja untuk memacu pembangunan sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan."

Penubuhan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China antara hasil kerjasama penting yang dicapai melalui CAEXPO, dan akan meningkatkan kerjasama dalam rangka CAFTA.

Timbalan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Yang Mulia Raja Nushirwan Zainal Abidin berpendapat bahawa Malaysia dan China boleh memperdalam kerjasama industri kerana industri kedua-dua negara dapat saling melengkapi. Jelas beliau,

"Dalam usaha menjayakan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China, industri kedua-dua negara yang boleh saling melengkapi perlu diberikan perhatian."

Ketua Pengarah Jabatan Penyelidikan Kerjasama Serantau, Institut Kajian Asia-Pasifik, Akademi Sains Sosial China, Wang Yuzhu berpendapat bahawa CAEXPO perlu memainkan peranan sepenuhnya dalam usaha mendorong kerjasama perdagangan dan pelaburan serantau. Kata beliau, "CAEXPO bukan sekadar menyediakan wadah bagi perniagaan sahaja, sebaliknya bertujuan memberikan peluang kepada China dan negara-negara ASEAN untuk merapatkan kerjasama. Ekspo ini juga menyediakan wadah kepada kedua-dua pihak untuk membincangkan isu ekonomi serta merancakkan hubungan politik dan diplomatik antara satu sama lain."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China