Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) dan Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) ke-10 sedang diadakan di Nanning, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi. Perdana Menteri China, Li Keqiang ketika merasmikan ekspo kali ini mengemukakan inisiatif untuk menaikkan taraf Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA). Menurutnya, China akan mengutamakan kepentingan negara-negara ASEAN dan membantu menyediakan suasana yang baik untuk pembangunan rantau ini. Sarjana, pegawai dan usahawan yang berkenaan menyatakan bahawa penaikan taraf CAFTA dapat menggalakkan situasi menang-menang dan mewujudkan pembangunan bersama.
Pakar dari Institut Kajian Asia-Pasifik, Akademi Sains Sosial China, Wang Yuzhu berkata,
"Pembangunan CAFTA amat lancar dan berjaya. Tetapi, selepas CAFTA siap dibina, beberapa negara ASEAN mula merungut dengan mengatakan kepentingan dalam pembangunan kawasan perdaganan bebas ini terlalu cenderung kepada China. Ada yang mengadu bahawa industri negara mereka telah banyak terjejas. Inilah satu cabaran bagi pembangunan CAFTA."
Ahli ekonomi dari Institut Hubungan Antarabangsa, Akademi Diraja Kemboja, Ky Sereyvath berkata,
"CAFTA masih berada pada tahap pembangunan. Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam belum membatalkan sepenuhnya sekatan tarif. Untuk meningkatkan taraf perdagangan bebas antara kedua-dua pihak, ada tiga perkara yang mesti diberi keutamaan, iaitu kerjasama, liberalisasi dan penubuhan institusi yang berkenaan."
Timbalan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Yang Mulia Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata,
"Ada satu persepsi daripada beberapa pihak yang memikirkan bahawa China ini merupakan saingan bagi kita. Dalam keadaan ekonomi global sekarang, persaingan itu menjadi satu fakta kehidupan, kita tak boleh lari. Pada masa yang sama, terdapat banyak kesalinglengkapan. Sebagai contoh, China merupakan negara pembuat. Pada masa yang sama, banyak negara-negara ASEAN ini mengeluarkan komoditi. Jadi memang ada keserasian antara China dan negara-negara ASEAN. Jadi, taman perindustrian (Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China) ini, kalau nak berjaya, kita kena lihat pada keserasian antara industri-industri China dan industri-industri Malaysia."
Profesor ilmu sains politik dari Universiti Ateneo de Manila, Richard Javad Heydarian pula berkata,
"Infrastruktur yang kurang maju menjejaskan pembangunan di Filipina. Oleh itu, teknologi, dana dan pelaburan dari China amat penting bagi pembangunan jangka panjang negara ini."