Presiden China, Xi Jinping bakal mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia dan Malaysia pada 2 hingga 8 Oktober nanti serta menghadiri Sidang Kemuncak Tidak Rasmi ke-21 Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Bali, Indonesia. Kementerian Luar China menyifatkan lawatan ini membawa makna yang besar bagi mempererat lagi hubungan antara China dengan Indonesia, Malaysia dan ASEAN, sekali gus berperanan penting dalam mendorong proses kerjasama serantau.
Naib Menteri Luar China, Liu Zhenmin dalam sidang media semalam memaklumkan: "Indonesia dan Malaysia negara jiran yang baik bagi China. Kerajaan China menaruh perhatian yang besar terhadap usaha mengembangkan hubungan persahabatan dengan kedua-dua negara tersebut. Lawatan pertama Presiden Xi ke Asia Tenggara kali ini besar maknanya bagi memperkukuh hubungan berkenaan."
Dalam lawatan tersebut, Xi dijemput menyampaikan ucapan tentang gagasan penggalakan hubungan China dengan Indonesia dan ASEAN serta konsep pembangunan damai China di Parlimen Indonesia. Inilah kali pertama Parlimen Indonesia membuka pintunya dan mempelawa pemimpin negara asing membuat ucapan.
Selepas lawatan ke Indonesia dan Malaysia, Xi akan menghadiri Sidang Kemuncak Tidak Rasmi APEC ke-21 di Bali. Naib Menteri Luar China, Li Baodong mengatakan: "Asia Pasifik selalu dianggap sebagai pelopor ekonomi sejagat. Namun, situasi ekonomi antarabangsa yang kurang stabil mungkin sedikit sebanyak memberi tamparan kepada kuasa ekonomi yang baru muncul di rantau itu. Ketidakstabilan pasaran itu bakal menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap masa depan Asia Pasifik. Jadi, sidang kemuncak APEC tahun ini mendapatkan perhatian yang cukup meluas daripada masyarakat antarabangsa."
Kehadiran Presiden Xi merupakan penampilan pertamanya di persada APEC. Dimaklumkan, beliau akan membentangkan pandangan China dalam isu-isu termasuk situasi ekonomi sejagat, fungsi APEC dalam peningkatan mekanisme perdagangan pelbagai hala, kesalinghubungan Asia Pasifik dan pertumbuhan lestari dan saksama.
Li Baodong menganggap bahawa kehadirian Xi itu pasti akan memainkan peranan yang penting bagi mendorong pembangunan ekonomi Asia Pasifik, memperhebat fungsi APEC, menggalakkan proses kerjasama serantau dan memperkukuh hubungan dengan negara-negara berkenaan.
Kerjasama rantau Asia Pasifik selalu menjadi topik perbincangan yang utama bagi persidangan APEC. Naib Menteri Perdagangan China, Yu Jianhua menyeru kepada organisasi serantau itu supaya membentuk platform interaksi bagi mendorong pelbagai kawasan perdagangan bebas di rantau itu saling belajar dan berintegrasi demi membantu mewujudkan matlamat pembentukan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik.