Presiden China, Xi Jinping akan melawat ke Indonesia dan menghadiri Sidang Kemuncak Tidak Rasmi APEC 2013 di Bali. Duta Besar China ke Indonesia, Liu Jianchao ketika diwawancara berkata, lawatan Presiden Xi kali ini akan memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang serta meningkatkan lagi hubungan rakan strategik antara satu sama lain.
Lawatan tersebut bakal menjadi lawatan pertama Xi Jinping ke negara Asia Tenggara sejak menyandang jawatan presiden China. Mengenai hal ini, Liu berkata, "Indonesia merupakan salah sebuah negara jiran dan rakan strategik yang penting bagi China. Baik dari hubungan dua hala mahupun pelbagai hala, kedua-dua negara mempunyai banyak kepentingan dan keprihatinan bersama. Meningkatkan komunikasi dan penyelarasan antara China dengan Indonesia amat penting bagi memelihara kepentingan negara-negara membangun serta kedamaian dan kestabilan serantau."
Berhubung peranan Indonesia dalam hubungan China-ASEAN, Liu berkata, "Indonesia menganggap kerjasama China dengan ASEAN amat penting pada kesuluruhannya, dan sentiasa berusaha untuk memperkasakan kerjasama antara kedua-dua pihak. Selain itu, Indonesia bersikap berkecuali dan adil ketika menangani pertikaian dan percanggahan serantau. China dan Indonesia banyak mementingkan nilai yang sama, iaitu kedamaian, kestabilan dan membangun bersama-sama."
Walau bagaimanapun, Liu mengakui bahawa kerjasama antara China dengan Indonesia masih mempunyai kelemahan dan menghadapi cabaran. Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara ini hanya menduduki tempat ke-4 antara negara-negara ASEAN, manakala tahap pelaburan juga perlu ditingkatkan. Beliau berkata, "Pertama, persefahaman antara rakyat kedua-dua negara masih belum cukup mendalam. Kedua, kedua-dua negara perlu mencari lebih banyak cara untuk memastikan kerjasama dua hala yang saling menguntungkan dapat mencapai potensi sepenuhnya. Dan ketiga, kedua-dua negara patut berusaha untuk meneroka ruang kerjasama yang lebih meluas."
Liu yakin bahawa lawatan Presiden Xi ini akan menjadi detik penting dalam perkembangan hubungan China-Indonesia. Kata beliau, "Lawatan Presiden Xi ke Indonesia kali ini akan meningkatkan lagi hubungan rakan strategik menyeluruh antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang."