Presiden China, Xi Jinping memulakan lawatan rasminya ke Indonesia hari ini. Tokoh-tokoh dari pelbagai kalangan masyarakat Indonesia menanti-nantikan lawatan Xi ini dan berharap agar kedua-dua negara dapat terus meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang bagi mendorong hubungan dua hala melonjak ke tahap yang lebih tinggi.
Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Mari Elka Pangestu menaruh harapan yang tinggi terhadap lawatan Xi tersebut. Beliau menganggap bahawa lawatan berkenaan pasti dapat menggalakkan kedua-dua negara mencapai sepersetujuan yang baharu, terutamanya tentang peningkatan kerjasama dalam bidang kebudayaan dan pelancongan. Bagi Indonesia, China merupakan pasaran sumber pelancong yang paling penting antara 16 buah negara sumber pelancong utamanya. Kini, negara itu sedang membina platform maklumat pelancongan untuk pelawat China dan merancang mempelawa pengarah filem China membuat penggambaran di negara itu.
Pengerusi Pusat Penyelidikan China, Universiti Indonesia Natalia menilai "impian China" yang dikemukakan oleh Presiden Xi sebagai menunjukkan hasrat China meningkatkan reputasi selaku kuasa besar yang berwibawa di persada antarabangsa dan membina sebuah masyarakat yang lebih makmur dan adil. Inilah juga impian Indonesia. Jadi, kedua-dua negara ini boleh saling belajar dan memperkasakan kerjasama demi mewujudkan wawasan yang bersama tersebut.
Bekas Duta Besar Indonesia di China, Sudrajat menyatakan bahawa hubungan Indonesia-China yang semakin rapat dapat dilihat dari beberapa aspek, termasuk pertukaran lawatan peringkat tinggi dan interaksi di kalangan masyarakat yang kian kerap serta kerjasama ekonomi dan perdagangan yang kian erat. Pada tahun 2006 hingga 2010, jumlah perdagangan dua hala meningkat daripada USD 12 bilion kepada USD 28 bilion. Pada tahun lepas, angka itu mencatat USD 66 bilion. Prestasi yang kelihatan memberangsangkan itu memperlihatkan bahawa Indonesia dan China adalah rakan kerjasama yang amat rapat.
Pengerusi Dewan Perindustrian dan Perniagaan Indonesia, Suryo Bambang Sulisto mengatakan bahawa China merupakan rakan dagang utama bagi Indonesia. Indonesia mempunyai pasaran yang besar dan kaya dengan pelbagai sumber, manakala China memiliki kelebihan dalam teknologi dan modal. Oleh itu, kedua-dua pihak boleh saling melengkapi dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
Selain sektor ekonomi, kerjasama politik antara Indonesia dengan China juga menjadi semakin erat. Kedua-dua negara telah menyedari pentingnya memelihara kestabilan dan kedamaian serantau. Seorang pemberita kanan dari akhbar Kompas Indonesia yang bertugas di Asia Pasifik berpendapat, Indonesia dan China memegang pendirian yang sama dalam beberapa isu termasuk memelihara keamanan dunia dan tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara-negara lain. Selain itu, kedua-dua negara ini boleh berkongsi pengalaman dalam pertumbuhan ekonomi, pembasmian kemiskinan, kebajikan sosial dan sebagainya.