Cari:
PM Li Keqiang Lawat Tiga Negara Asia Tenggara
2013-10-09 15:55:55 CRI Cetak

Perdana Menteri China, Li Keqiang bertolak ke Brunei Darussalam untuk menghadiri Persidangan Pemimpin Asia Timur hari ini. Selepas itu, beliau akan mengadakan lawatan rasmi ke Brunei, Thailand dan Vietnam. Ini merupakan kali pertama beliau menghadiri persidangan tersebut sebagai Perdana Menteri. 

Selepas Presiden China, Xi Jinping kembali dari lawatannya ke negara-negara Asia Tenggara semalam, Perdana Menteri China pula menjejakkan kaki ke rantau tersebut pada hari ini. Ini mencerminkan dasar diplomatik kerajaan penggal baharu China yang amat mementingkan ASEAN, serta kerjasama dan perpaduan dengan negara-negara tersebut.

Negara-negara ASEAN merupakan jiran yang penting bagi China, sebilangan daripadanya bersambung dengan China secara geografi. Kebanyakan negara ASEAN telah sekian lama menjalinkan hubungan dengan China, dan kini ASEAN merupakan rakan dagang ketiga terbesar bagi negara ini. Di samping itu, Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) mewujudkan muafakat bestari bagi kedua-dua pihak. Walaupun hubungan tersebut menghadapi beberapa masalah, tetapi masalah itu tidak akan menghalang peningkatan hubungan kedua-dua pihak jika diselesaikan melalui dialog dan komunikasi.

Baru-baru ini, Presiden Xi telah mengemukakan konsep "komuniti berkongsi nasib China-ASEAN" semasa beliau menyampaikan ucapan di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia. Lawatan PM Li kali ini pula akan mengemukakan tindakan konkrit dan pragmatik untuk membina komuniti tersebut, yang amat dinanti-nantikan.

Ketiga-tiga negara dalam rangka lawatan Li kali ini mempunyai ciri-ciri yang istimewa. Brunei merupakan negara yang wilayahnya paling kecil dalam ASEAN, tetapi mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita yang sangat tinggi. China dan Brunei yang terletak seberang-menyeberang di Laut China Selatan giat mengekalkan hubungan persahabatan dan komunikasi di peringkat tinggi.

Hubungan persahabatan antara Thailand dengan China pula telah bersejarah lama. Thailand merupakan destinasi pelaburan dan pelancongan yang penting bagi China. Hubungan rakan kerjasama dan strategik secara menyeluruh kedua-dua negara sedang berkembang secara sihat.

Vietnam yang merupakan sebuah negara sosialis merupakan negara jiran dan rakan kongsi yang rapat bagi China. Sejak kerajaan penggal baharu China dibentuk, pertukaran peringkat tinggi China-Vietnam kerap dijalankan. Pemimpin kedua-dua negara berhasrat meningkatkan hubungan strategik yang saling mempercayai, memperdalam kerjasama yang saling menguntungkan dan menangani sebaiknya sebarang masalah yang timbul, bagi menggalakkan hubungan dua hala berkembang secara sihat dan stabil.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China