Cari:
"Dekad Keemasan" Hubungan China-ASEAN
2013-10-09 14:44:39 CRI Cetak

Perdana Menteri China, Li Keqiang hari ini memulakan lawatan ke tiga negara Asia Tenggara dan menghadiri sidang pemimpin Asia Timur yang diadakan di Brunei Darussalam. Dalam Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) yang diadakan pada bulan yang lalu, Li berkata, hubungan antara China dengan ASEAN berkembang pesat dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu. Tempoh itu merupakan "dekad keemasan" bagi kedua-dua pihak. Beliau berharap, kedua-dua pihak dapat terus menjayakan kerjasama dalam tempoh sepuluh tahun akan datang untuk merealisasikan "dekad intan".

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 terjalinnya hubungan rakan strategik antara Chinia dengan ASEAN. Dalam sedekad yang lalu, hubungan antara kedua-dua pihak berkembang secara stabil. Li mengesyorkan supaya kedua-dua pihak menaik taraf Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA), meningkatkan kesalinghubungan dan kerjasama kewangan serta mengadakan kerjasama maritim dan pertukaran budaya.

Bekas Ketua Pengarah Institut Asia-Pasifik Akademi Sosial China, Zhang Yunling berkata, "Dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu, China dan ASEAN telah membina CAFTA, dan hubungan ekonomi serta perdagangan antara kedua-dua pihak pula berkembang pesat. China telah menjadi rakan dagang yang terbesar bagi ASEAN. Dalam bidang politik pula, kedua-dua pihak telah menjalin hubungan rakan strategik, serta mengadakan muafakat, penyelarasan dan kerjasama bagi menangani masalah-masalah yang penting. Kedua-dua pihak akan meningkatkan lagi hubungan ekonomi dan politik tersebut dalam tempoh sepuluh tahun akan datang."

Ketika mengimbas kembali hasil kerjasama China-ASEAN setakat ini, Ketua Pengarah Institut Pengajian Antarabangsa (CIIS), Qu Xing berkata, "China dan ASEAN memberikan perhatian yang tinggi terhadap pembinaan hubungan rakan strategik di peringkat negara. Ini memudahkan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam pelbagai peringkat. Selain itu, China dan ASEAN saling melengkapi dari segi ekonomi dan perdagangan. Oleh sebab itu, meskipun ekonomi sejagat merosot, tetapi pertumbuhan ekonomi China dan negara-negara ASEAN mengekalkan kadar pertumbuhan yang tinggi."

Dalam membincangkan kerjasama antara China dengan ASEAN, isu Laut China Selatan tidak boleh dielakkan. Sebagaimana yang telah diketahui, keamanan dan kestabilan merupakan prasyarat penting bagi kemakmuran serantau. Berhubung hal ini, Qu Xing berkata, "Amat penting bagi China dan ASEAN menangani perselisihan dengan baik. Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak yang Berkepentingan di Laut China Selatan yang ditandatangani sebelum ini amat penting bagi keamanan rantau ini. Meskipun timbulnya perselisihan, namun situasi ditangani dengan terkawal. Sekiranya dokumen tersebut terus dipatuhi, "dekad intan" China-ASEAN pasti dapat diwujudkan."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China