Perdana Menteri China, Li Keqiang telah mengakhiri lawatannya ke Asia Tenggara baru-baru ini. Pakar dan sarjana yang berkenaan memuji lawatan beliau kali ini sebagai memperlihatkan keikhlasan dan usaha yang pragmatik oleh China.
Ketika PM Li melawat ke Brunei Darussalam, kedua-dua pihak dalam kenyataan bersama bersetuju untuk meningkatkan kerjasama maritim dan mendorong penerokaan bersama. Presiden Institut Pengajian Laut China Selatan, Wu Shicun berkata, "Mengetepikan pertikaian dan meneroka bersama-sama, kedua-dua prinsip ini dikemukakan oleh kerajaan China sejak tahun 1980-an lagi, tetapi anjuran tersebut tidak mencapai kemajuan yang substantif setakat ini. Perbadanan Minyak Luar Pesisir Kebangsaaan China (CNOOC) dan Syarikat Petroleum Negara Brunei telah menandatangani perjanjian untuk meneroka telaga minyak dan gas asli di Laut China Selatan. Langkah tersebut menunjukkan bahawa China dan negara-negara yang terbabit boleh meningkatkan kerjasama melalui penerokaan bersama sekali gus menyelesaikan isu Laut China Selatan secara tuntas."
Dalam lawatan PM Li ke Vietnam, kedua-dua negara memutuskan untuk menubuhkan kumpulan perunding pembangunan bersama marin. Wu berkata, "Penubuhan kumpulan kerja itu sekali lagi menunjukkan bahawa isu Laut China Selatan merupakan masalah antara China dengan negara-negara yang terbabit, dan tidak perlu campur tangan negara-negara lain. China sentiasa menganjurkan untuk menyelesaikan pertikaian tersebut melalui rundingan bilateral."
Ketika melawat ke Thailand, Li telah memperkenalkan teknologi kereta api laju China kepada rakan sejawatnya, Yingluck Shinawatra. Bekas Duta Besar China ke Thailand, Zhang Jiuhuan berkata, "Jika kerjasama antara China dengan Thailand dalam bidang kereta api laju berhasil, potensi perkembangannya pada masa depan amat hebat. Kesalinghubungan merupakan aspek yang perlu untuk mewujudkan "dekad intan" dalam hubungan China-ASEAN. Dalam pada itu, perkhidmatan kereta api laju menjadi wahana yang penting dalam kesalinghubungan tersebut."
Profesor dari Institut Hubungan Antarabangsa Moden, Universiti Tsinghua, Liu Jiangyong pula berkata, "Lawatan PM Li kali ini memperlihatkan keikhlasan dan usaha yang pragmatik oleh China. Lawatan berkenaan nescaya akan memberikan pengaruh yang penting terhadap hubungan antara China dengan negara-negara ASEAN serta keseluruhan hubungan China-ASEAN pada masa depan."