Cari:
Pertemuan Pemimpin China-EU Berhasil
2013-11-22 13:07:27 CRI Cetak

Setelah Pertemuan Pemimpin China-Kesatuan Eropah (EU) ke-16 berakhir di Beijing semalam, kedua-dua pihak telah mengumumkan "peta jalan" bagi kerjasama China-EU 2020. Rundingan perjanjian pelaburan China-EU yang sebelum ini telah menarik perhatian ramai juga dimulakan secara rasmi. Sementara itu, China dan EU juga bersepakat akan secara aktif membincangkan kemungkinan menubuhkan Kawasan Perdagangan Bebas China-EU.

Pertemuan kedua-dua pihak ini diadakan sempena ulang tahun ke-10 terjalinnya perkongsian strategik komprehensif China-EU. Menurut Perdana Menteri China, Li Keqiang, pertemuan tersebut boleh dikatakan amat berhasil kerana kedua-dua pihak telah mencapai konsensus penting untuk terus menaiktarafkan hubungan China-EU, selain menyaksikan penandatanganan beberapa dokumen yang berkenaan.

"China-EU akan bersama-sama mengumumkan "Pelan strategik 2020 untuk kerjasama China-EU". Pelan tersebut merangkumi banyak aspek seperti kerjasama dalam bidang aeroangkasa, memerangi lanun, perlindungan pelayaran dan urbanisasi corak baharu. Kedua-dua pihak akan bersama-sama berusaha untuk melaksanakan "peta jalan" kerjasama tersebut supaya merealisasikannya dan membawa faedah sebenar kepada rakyat kedua-dua pihak."

Pengerusi Suruhanjaya Eropah, Manuel DurĂ£o Barroso pula menyanjung tinggi pelan kerjasama China-EU untuk masa depan ini.

"Detik ini amat penting bagi EU dan China. Saya berasa amat gembira kerana kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat tentang rancangan untuk tempoh sepuluh tahun akan datang. Rancangan ini bukan sahaja bersifat strategik, malah juga banyak mengandungi pelan tindakan yang konkrit. Ini membuktikan bahawa hubungan EU-China bukan sahaja mempunyai sejarah yang cemerlang, tetapi juga mempunyai prospek yang amat cerah."

EU telah menjadi rakan dagang terbesar bagi China selama 9 tahun berturut-turut, manakala China pula telah sepuluh tahun berturut-turut menjadi rakan dagang kedua terbesar bagi EU. Bagaimanapun, berbanding jumlah perdagangan yang skalanya amat besar, kerjasama dalam bidang pelaburan masih berskala kecil. Menurut data yang diumumkan oleh EU, hanya 2.1% daripada pelaburan langsung EU ke luar disalurkan ke China, manakala 3% pelaburan luar China disalurkan ke EU. Bagaimana meningkatkan kerjasama dalam bidang pelaburan menjadi salah satu topik perbincangan utama dalam pertemuan pemimpin kali ini.

Li Keqiang berkata, "Kedua-dua pihak telah mengumumkan akan memulakan rundingan tentang perjanjian pelaburan China-EU. Sementara itu, penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-EU pun akan dibincangkan secara aktif. Kami akan terus berusaha untuk mendorong kerjasama ekonomi China-EU sehingga jumlah perdagangan kedua-dua pihak dapat mencatat USD 1 trilion pada tahun 2020."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China