Perdana Menteri China, Li Keqiang bakal menghadiri pertemuan pemimpin China-Eropah Tengah dan Timur serta melakukan lawatan rasmi ke Romania. Demikian diumumkan oleh Naib Menteri Luar China, Song Tao dalam sidang media semalam.
Song Tao menyatakan bahawa perdana menteri dari 17 buah negara akan berkumpul di Bucharest untuk membincangkan arah perkembangan kerjasama antara China dengan negara-negara Eropah terbabit bagi mendorong dan memandu perkembangan kerjasama kedua-dua pihak pada masa depan. Menurut Song, Kementerian Perdagangan China dan pihak berkenaan Romania sedang membuat persiapan untuk mengadakan Forum Ekonomi dan Perdagangan China-Eropah Tengah dan Timur ke-3 yang merupakan antara aktiviti penting dalam lawatan Li Keqiang ke Eropah Tengah dan Timur.
Song Tao menambah, lawatan ini adalah yang pertama bagi Li Keqiang ke Eropah Tengah dan Timur sejak beliau menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri dan juga merupakan lawatan kali pertama bagi Perdana Menteri China ke Romania dalam tempoh 19 tahun yang lalu.