Media Eropah Tengah dan Timur semalam menerbitkan artikel Perdana Menteri China, Li Keqiang sempena perasmian Pertemuan Ketua-ketua Negara China dengan Eropah Tengah dan Timur.
Artikel itu menyebut, walaupun China berjarak jauh dengan negara-negara Eropah Tengah dan Timur, tetapi hubungan kedua-dua pihak telah terjalin sejak sekian lama. Baik dalam menghadapi bencana alam mahupun masalah ekonomi, kedua-dua pihak selalu tolong-menolong antara satu sama lain. Hubungan persahabatan ini bakal terpahat dalam ingatan kalangan rakyat selama-lamanya. Pada abad ini, China berada pada fasa yang baharu dalam usaha pembaharuan dan keterbukaan, manakala negara-negara Eropah Tengah dan Timur mencapai hasil yang memuaskan dalam proses transformasi ekonomi.
Pada tahun 2012, nilai perdagangan antara China dengan negara-negara Eropah Tengah dan Timur mencatat lebih USD 50 bilion. Kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan mencapai hasil yang cukup memberangsangkan. China menandatangani perjanjian pertukaran mata wang dengan Hungary dan Albania bagi memudahkan perusahaan berkenaan mengumpulkan dana dan membuat pembayaran. China dan Romania meraih hasil yang besar dalam kerjasama pertanian. Selain itu, projek pembinaan infrastruktur yang diusahakan oleh China dan Eropah Tengah dan Timur juga mencapai kemajuan.
Selain bidang ekonomi, interaksi kebudayaan antara China dengan negara-negara Eropah Tengah dan Timur juga amat rapat. Terdapat tiga perkara yang menjadi popular di Eropah, iaitu mempelajari bahasa Mandarin, belajar di China dan menghayati seni China. Sementara itu, filem-filem klasik terbitan Eropah Tengah dan Timur dan pertandingan sukan juga meninggalkan kesan yang mendalam kepada masyarakat China. Melawat ke Eropah Tengah dan Timur kini merupakan satu cara hidup yang baharu bagi rakyat China. Pada masa ini, usaha mendirikan persatuan pelancongan antara China dengan 16 buah negara Eropah sedang digalakkan.
Eropah Tengah dan Timur merupakan anggota yang penting dalam benua Eropah. China menyokong teguh proses integrasi Kesatuan Eropah dan berharap dapat melihat Eropah yang lebih makmur dan bersatu padu. China yakin, kerjasama yang menyeluruh antara kedua-dua pihak bukan sahaja membawa manfaat kepada kalangan rakyat, bahkan juga menyuntik tenaga baharu ke dalam perkembangan hubungan China-Eropah yang sihat, seimbang dan berterusan.