Cari:
Masa Depan SCO Cerah
2013-11-28 14:26:36 CRI Cetak

Sidang ke-12 Peringkat Perdana Menteri Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) akan dirasmikan di Tashkent, Uzbekistan hari ini. Perdana Menteri China, Li Keqiang bakal menghadiri sidang kali ini.

Pegawai dari Universiti Hubungan Antarabangsa dan Bahasa-bahasa Dunia Kazakh Ablai khan, Kazakhstan, Nurlan Adilkhanuly yang diwawancara oleh pemberita CRI memberikan pandangannya terhadap sidang ini. "SCO sudah mengalami banyak jatuh bangun semenjak penubuhannya pada 12 tahun yang lalu. Fungsi dan pengaruhnya selalu dipersoalkan oleh kuasa-kuasa Barat. Saya yakin, sidang kali ini bakal membawa SCO masuk ke fasa perkembangan yang baharu."

Menurut Adilkhanuly, isu Afghanistan berkait rapat dengan keselamatan dan kestabilan rantau SCO, disebabkan lima antara enam buah negara jiran Afghanistan adalah negara anggota atau negara pemantau SCO. Justeru itu, sidang perdana menteri kali ini diadakan menjelang pengunduran tentera NATO dari Afghanistan. Jadi, sidang berkenaan pasti akan memberi kesan yang besar kepada situasi negara itu pada masa kelak.

Adilkhanuly menyatakan bahawa SCO akan terus menyalurkan bantuan kepada Afghanistan. Katanya:"Bantuan ini berupa ekonomi, kemanusiaan ataupun kerjasama ketenteraan. Kini, kerajaan Afghanistan amat memerlukan bantuan seumpama itu, kerana ia bakal menghadapi sendiri Taliban selepas NATO mengundurkan tenteranya dari negara itu. Memandangkan keadaan ini, terdapat ruang yang amat besar bagi kerjasama antara SCO dengan Afghanistan pada masa depan."

Selain isu keselamatan, SCO juga akan menjayakan kerjasama pragmatik dalam bidang yang lain. Contohnya, Perjanjian Pemudahan Pengangkutan Darat Antarabangsa antara Kerajaan Negara Anggota SCO akan ditandatangani dalam sidang kali ini. Perjanjian ini akan melicinkan urusan membina laluan pengangkutan Euroasia dari LianyungangChina ke St Petersburg, Rusia. Projek itu adalah sebahagian penting dalam program "Kawasan Ekonomi Laluan Sutera Baharu" yang dicadangkan oleh China.

Dalam tempoh 12 tahun yang lalu, SCO memainkan peranan yang kian penting dalam usaha memelihara keselamatan dan kestabilan serantau serta mendorong pembangunan bersama negara anggotanya. Kini, semakin banyak negara termasuk India, Pakistan dan Mongolia mahu menganggotai SCO berikutan prestij pertubuhan itu di arena antarabangsa semakin meningkat.

Adilkhanuly menyatakan, keanggotaan negara-negara tersebut akan menghebatkan kemampuan SCO dalam bidang ekonomi, rizab sumber tenaga serta sains dan teknologi. Jadi, boleh dikatakan, masa depan SCO amat cerah.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China