
Satu rusuhan berlaku di Little India, kawasan kediaman kaum India di Singapura pada 8 Disember lalu. Kira-kira 400 orang buruh asing yang terlibat dalam rusuhan itu bertindak membakar kereta persendirian, malah kereta polis dan ambulans, yang menyebabkan puluhan orang cedera.
Singapura merupakan sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan budaya di rantau Asia Tenggara. Berkat dasar perkauman yang baik serta undang-undang dan peraturan yang ketat, keadaan sosial di Singapura kekal aman dan stabil selama ini. Rusuhan tersebut mencatat rusuhan pertama di negara itu dalam tempoh 40 tahun yang lalu.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong semalam mengarahkan Kementerian Dalam Negeri menubuhkan Jawatankuasa Siasatan (COI) bagi menyiasat insiden berkenaan, termasuk punca rusuhan serta tindakan polis dalam hal itu. Selain itu, suruhanjaya itu juga akan meneliti sama ada terdapat kelemahan kawalan di tempat kediaman buruh asing, dan memberikan cadangan pembaikan.

Pihak polis Singapura dalam sidang akhbar pada pagi 9 Disember menyatakan bahawa rusuhan itu berlaku berikutan seorang buruh warga India dilanggar mati oleh sebuah bas di persimpangan Jalan Race Course dan Jalan Hampshire pada malam 8 Disember. Pihak polis mengerahkan kira-kira 300 orang anggotanya ke tempat kejadian dan berjaya menangkap 27 orang suspek yang disyaki terlibat dalam rusuhan tersebut.
Timbalan Perdana Menteri Singapura merangkap Menteri Dalam Negeri, Teo Chee Hean yang mengecam keras rusuhan itu, menggesa orang ramai supaya bertenang. Dalam pada itu, Kementerian Sumber Manusia Singapura berkata, rusuhan yang berlaku di Little India itu adalah insiden terpencil, maka masyarakat awam tidak perlu bimbang terhadap keselamatan di negara itu.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Asia dan Globalisasi, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), Huang Jing berpendapat bahawa kini sesetengah buruh asing di Singapura menghadapi tekanan hidup yang besar kerana kebanyakan mereka berpendapatan rendah dan tinggal dalam keadaan yang serba kekurangan. Oleh itu, penduduk Singapura sentiasa menganggap Little India, tempat yang penuh dengan buruh asing itu sebagai tempat yang kurang selamat. Menurut Huang, rusuhan yang berlaku berikutan kemalangan lalu lintas itu seolah-olah berlaku secara kebetulan sahaja, namun sebenarnya terdapat banyak faktor yang telah sekian lama berakar umbi. Rusuhan itu dijangka akan menyebabkan rakyat Singapura meneliti semula tadbir urus sosialnya, namun ia tidak akan memberikan pengaruh yang terlalu besar kepada republik itu.
Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, Singapura telah mengambil sejumlah besar buruh asing untuk menerajui pembangunan ekonominya. Menurut statistik Kementerian Sumber Manusia, setakat bulan Jun tahun ini, kira-kira 1.3 juta buruh asing bekerja di negara itu yang kebanyakannya berasal dari negara Asia Selatan, Asia Tenggara dan China.








