Alat peninjau bulan China, Chang'e-3 dan kenderaan perayau Yutu berjaya mengambil gambar satu sama lain di permukaan bulan pada 11:45 malam semalam. Ini menandakan kejayaan misi Chang'e-3 , sekali gus menjadikan China negara ketiga di dunia yang menguasai teknologi pendaratan lembut dan penerokaan di permukaan bulan.
Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang telah menonton siaran langsung penggambaran Chang'e-3 dan Yutu di Pusat Kawalan Penerbangan Angkasa Lepas Beijing serta menyampaikan tahniah kepada semua kakitangan yang mengambil bahagian dalam misi kali ini.
Naib Perdana Menteri Ma Kai telah menyampaikan kawat tahniah dari Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Dewan Negara dan Suruhanjaya Ketenteraan Pusat yang menyatakan, misi Chang'e-3 telah benar-benar berjaya dengan tercapainya pendaratan lembut dan penerokaan alat aeroangkasa China di luar bumi. Ini menandakan pencapaian sasaran strategi fasa kedua dalam program penerokaan bulan China dan mempunyai makna penting dalam perkembangan program angkasa lepas China. Menurut beliau,
"Misi Chang'e-3 merupakan misi yang paling kompleks dan sukar dalam bidang aeroangkasa China setakat ini, sekaligus merupakan sumbangan cemerlang China dalam usaha manusia meneroka ruang angkasa. Meneroka dan menggunakan angkasa lepas bagi tujuan damai merupakan impian China selama beribu-ribu tahun. Kejayaan misi Chang'e-3 menandakan program penerokaan bulan China memasuki tahap baharu untuk mengumpulkan sampel di bulan dan membawanya kembali ke bumi."
Menurut rancangan, kenderaan perayau Yutu juga akan mengambil gambar alat peninjau bulan Chang'e-3 dari empat sudut yang lain untuk menentusahkan teknologi berkenaan. Selepas itu, Yutu dan Chang'e-3 akan melaksanakan misi masing-masing, termasuk menyelidik bentuk muka dan struktur geologi bulan, komposisi tanah dan sumber yang boleh digunakan di bulan serta lapisan plasma bumi.
Alat peninjau bulan Chang'e-3 dilancarkan pada 2 Disember lalu dan memasuki orbit dengan tepat. Kemudian, Chang'e-3 mendarat di bulan pada 14 Disember lalu. Menurut rancangan projek penerokaan bulan China, China akan membawa kembali sampel yang dikumpulkan di bulan sebelum tahun 2020 untuk mengukuhkan asas bagi misi angkasawan China mendarat di bulan.