Isu harga barangan di Malaysia semakin meruncing kebelakangan ini. Pada awal tahun ini, Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) Malaysia mengadakan perhimpunan besar-besaran sebagai protes terhadap kegagalan kerajaan menstabilkan harga barangan. Pada masa yang sama, walaupun kesan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai harga kangkung belum hilang, tetapi kerajaan sekali lagi memperkenalkan beberapa langkah baharu untuk menstabilkan harga barang. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan memperluas senarai barang harga terkawal supaya harga barangan terjamin kekal stabil.
Barang harga terkawal tersebut merujuk kepada barang-barang kawalan di bawah Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961. Akta tersebut digubal oleh kerajaan Malaysia dengan tujuan untuk menstabilkan harga barangan demi kesejahteraan rakyat. Akta itu mula berkuat kuasa pada tahun 1974 dan dipinda kali terakhir pada tahun 2006. Kini, senarai barang kawalan tersebut merangkumi gula, minyak masak, produk minyak, gas asli, roti dan daging ayam.
Barang-barang tersebut berada di bawah kawalan ketat oleh kerajaan. Dari pengeluaran, import dan eksport hinggalah penetapan harga, semuanya di bawah bidang kuasa langsung Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), manakala penjualan produk berkenaan juga memerlukan lesen yang diberikan oleh kerajaan. Penjualan yang melanggar peraturan ini dianggap sebagai jenayah dan akan dihukum.
Baru-baru ini, kerajaan Malaysia terus-menerus
melaksanakan pendekatan baharu untuk mengawal harga barangan. Muhyiddin sendiri telah menyandang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menangani isu kenaikan harga barang, dan jawatankuasa itu telah memulakan tugasnya.
Di samping itu, Kementerian Pertanian dengan sokongan kerajaan pelbagai negeri merancang untuk memperkenalkan program "mari bercucuk tanam" di seluruh negara. Program yang serupa telah pun dilancarkan oleh kerajaan pelbagai negeri pada bulan Disember tahun lepas. Penduduk yang menanam sayur-sayuran di rumah sendiri akan diberi hadiah. Melalui program tersebut, pelbagai negeri diharap mampu menyediakan sendiri bekalan sayur-sayuran pada masa depan.