Sasaran peningkatan KDNK dan bajet pertahanan China merupakan data yang sentiasa menjadi tumpuan perhatian wartawan asing semasa sidang tahunan NPC dan CPPCC setiap tahun. Perdana Menteri China, Li Keqiang dalam laporan kerja kerajaan yang dibentangkan semalam menunjukkan, China menetapkan 7.5% sebagai sasaran peningkatan KDNK pada tahun 2014. Pada hari yang sama, Agensi Berita Xinhua turut mengumumkan peruntukan pertahanan China akan meningkat 12.2% pada tahun 2014 dengan angka 808.23 bilion yuan.
Menurut pandangan umum, kadar 7.5% ini menunjukkan arah dasar pembaharuan China.
Menurut PM Li, sasaran utama bagi perkembangan sosioekonomi China pada tahun 2014 ialah peningkatan KNDK sebanyak kira-kira 7.5%, manakala kadar kenaikan harga pengguna dikawal pada kira-kira 3.5%.
Menurut analisis media asing, kadar peningkatan KDNK tersebut setaraf dengan dua tahun yang lalu dan tidak jauh berbeza dengan 7% hingga 8% yang menjadi sasaran setiap tahun sejak 20 tahun lalu. Kesemua ini memberikan isyarat bahawa China mengutamakan pembangunan yang stabil dan lestari.
Menurut Ketua Jabatan Asia Eurasia Group, Nicholas Consonery, angka ini memberikan isyarat kepada pegawai kerajaan di pelbagai tempat di China bahawa prestasi kerja mereka tidak akan dinilai melalui kadar peningkatan KDNK semata-mata. Sebaliknya, prestasi mereka akan dinilai dari aspek yang lain, termasuk perlindungan alam sekitar, kadar pemerolehan pekerjaan dan inflasi.
Bajet pertahanan China yang meningkat sebanyak USD 132 bilion pada tahun ini turut menjadi tumpuan perhatian media asing.
Menurut media AS, peningkatan itu tidak sampai satu perempat bajet pertahanan AS pada tahun ini yang berjumlah USD 552.1 bilion.
Profesor dari Universiti Pertahanan China, Mejar Jeneral Qiao Liang menyatakan bahawa kadar peruntukan pertahanan China dalam KDNK antara 1% hingga 2%. Kadar ini jauh lebih rendah berbanding dengan piawaian antarabangsa yang tidak melebihi 3%.