Pesawat MAS MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk lebih 150 orang warga China, dilaporkan hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada pukul 1.20 pagi 8 Mac yang lalu. Setakat pagi tadi, pesawat itu masih belum ditemui. Lingkungan operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diperluaskan, namun masih belum ada kemajuan.
Operasi SAR itu disertai oleh pelbagai negara. Kumpulan petugas kerajaan China yang terdiri daripada pegawai Kementerian Luar, Kementerian Keselamatan Awam, Kementerian Pengangkutan serta Jabatan Pentadbiran Penerbangan Awam berlepas dari Beijing ke Malaysia pagi tadi untuk menangani insiden tersebut. Kumpulan itu menggesa pihak Malaysia memperhebat usaha SAR, menyiasat kejadian itu, mengumumkan maklumat terkini tepat pada masanya serta membantu keluarga penumpang yang berkenaan. Naib Ketua Pengarah Jabatan Hal-Ehwal Konsul Kementerian Luar, Guo Shaochun berkata, "SAR adalah tugas yang paling mustahak pada masa ini. China menggesa kerajaan Malaysia menyelaraskan usaha tersebut yang disertai oleh pelbagai negara. Kami tidak akan berputus asa."
Sebaik sahaja kejadian itu berlaku, Presiden China, Xi Jinping segera mengarahkan pihak-pihak yang berkaitan supaya sedaya upaya menguruskan kerja-kerja yang berkenaan. Perdana Menteri, Li Keqiang turut mengarahkan pihak-pihak yang terlibat meningkatkan komunikasi dengan badan penerbangan awam Malaysia dalam usaha memperhebat misi SAR.
Kementerian Luar, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pentadbiran Penerbangan Awam China telah melancarkan mekanisme kecemasan bagi menangani insiden itu. Ketua Pengarah Jabatan Pentadbiran Penerbangan Awam, Li Jiaxiang berkata, "Pesawat itu masih belum ditemui pada masa ini. Tompokan minyak yang dikesan di laut juga masih belum disahkan daripada pesawat itu. China telah mengerahkan segala tenaga yang ada untuk menjalankan misi SAR."
Pesawat MH370 telah terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara selama lebih dua hari. Pasukan pencari dan penyelamat dari China, Malaysia, Singapura, Vietnam, Filipina, AS, Australia dan Indonesia sudah tiba di perairan yang disyaki tempat kehilangan MH370 untuk menjalankan misi SAR.