Cari:
Persidangan Tahunan NPC Jadi Tumpuan Masyarakat Indonesia
2014-03-11 16:44:57 CRI Cetak

Duta Besar Indonesia ke China yang baharu, Sugeng Rahardjo amat memberi perhatian kepada Persidangan ke-2 Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC) ke-12. Ketika diwawancara oleh wartawan Radio Antarabangsa China (CRI) hari ini, beliau menyatakan bahawa persidangan kali ini menyediakan peluang yang terbaik bagi beliau untuk meningkatkan pemahaman tentang China. Laporan kerja kerajaan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Li Keqiang dan rancangan kerja tahun 2014 menjadi rujukan bagi beliau untuk memahami hala tuju pentadbiran kerajaan China pada masa depan.

Sugeng berkata, selepas setiap peralihan barisan kepimpinan pusat dilakukan di China, barisan pemimpin baharu akan meneruskan kerja pemimpin yang lalu bagi mendorong kemajuan dan pembangunan negara. Ini patut ditimba oleh negara-negara lain demi pembangunan negara dan manfaat rakyat.

Presiden China, Xi Jinping ketika mengadakan lawatan ke Indonesia pada bulan Oktober 2013 telah mengemukakan gagasan untuk membina Laluan Sutera Maritim abad ke-21. Sugeng berpendapat gagasan itu akan membawa banyak faedah kepada kedua-dua negara, sekali gus meningkatkan kerjasama dan pertukaran antara semua negara ASEAN dengan China. Beliau juga menyatakan bahawa pembinaan laluan tersebut harus memberi pertimbangan sepenuhnya kepada kerjasama serantau yang sedia ada.

"Kerjasama sebegini amat berfaedah untuk meningkatkan hubungan China dengan Indonesia dan negara-negara yang lain di rantau ini. Namun, kerjasama serantau yang sedia ada seperti Sidang Kemuncak ASEAN-China (10+1) dan Sidang Kemuncak Asia Timur juga perlu dipertimbangkan, agar semua pihak dapat saling melengkapi. Laluan Sutera Maritim bukan sahaja menghubungkan rantau Pasifik dengan Lautan Hindi, tetapi juga perlu memainkan peranan dalam pembangunan semua negara di rantau ini."

Menurut data Jabatan Statistik Negara China, Indonesia merupakan negara yang paling memberi perhatian kepada persidangan tahunan NPC ini. Sugeng berpendapat, hal ini disebabkan peranan China yang amat penting di rantau Asia Pasifik dan arena antarabangsa.

"Rakyat Indonesia semakin sedar akan pentingnya pembangunan China bagi Indonesia. China selaku paksi politik dan ekonomi di rantau Asia Pasifik, golongan belia di Indonesia merasakan amat perlu untuk memahami segala perubahan yang bakal berlaku kepada masyarakat China pada masa depan. Semua langkah baharu yang dikemukakan dalam laporan kerja kerajaan PM Li itu akan memberi pengaruh yang penting kepada kerjasama ekonomi serantau dan hubungan dua hala."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China