Cari:
China Komited Tangani Pencemaran Udara
2014-03-11 15:16:51 CRI Cetak

Perdana Menteri China, Li Keqiang ketika membentangkan laporan kerja kerajaan dalam majlis perasmian Persidangan ke-2 Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) ke-12 telah menyatakan tekad kerajaan untuk menangani pencemaran udara di China, yang turut mendapat sambutan hangat daripada para wakil NPC.

Banyak kawasan di China dilanda jerebu yang serius pada tahun lalu. Indeks PM2.5 sering melebihi paras normal. Di bandar Beijing, Tianjin dan provinsi Hebei yang paling teruk dilanda jerebu, topeng muka sudah menjadi barang keperluan penduduk. Seorang jurutera dari provinsi Hebei berkata, "Terlalu banyak perusahaan yang melepaskan pencemar seperti debu dan sulfur dioksida setiap hari."

Jerebu yang terdiri daripada jirim zarahan halus PM2.5 dan bahan cemar lain meliputi separuh wilayah China. Naib Menteri Perlindungan Alam Sekitar, Wu Xiaoqing ketika berucap dalam sidang akhbar persidangan tahunan NPC telah menganalisis tiga punca yang menyebabkan pencemaran teruk. Beliau berkata, "Pertama, jumlah pelepasan bahan cemar yang besar adalah punca yang utama. Batu arang, perindustrian, kenderaan, projek pembinaan dan debu di jalan raya antara penyebab cuaca tercemar teruk. Kedua, keadaan cuaca sekarang menyebabkan bahan cemar lebih mudah terkumpul dalam udara. Dan ketiga, pelepasan tempatan dan serantau menjadikan pencemaran lebih serius."

Batu arang dan perindustrian merupakan punca utama bagi pencemaran. Disebabkan itu, Dewan Negara China telah mengarahkan supaya jumlah pengeluaran besi waja dikurangkan sebanyak 80 juta tan dalam tempoh lima tahun akan datang. Dalam pada itu, provinsi Hebei yang merupakan pengeluar besi dan keluli yang terbesar di China perlu mengurangkan sebanyak 60 juta tan daripada jumlah pengeluarannya. Pada masa ini, banyak kilang pengeluar besi dan keluli kecil yang mengakibatkan pencemaran teruk telah ditutup.

Wakil NPC, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Hebei, Chen Guoying berkata, "Walaupun menyusun semula struktur perindustrian dan mengurangkan lebihan pengeluaran akan menjejaskan ekonomi secara sementara, tetapi langkah tersebut akan menaik taraf struktur perindustrian dan membaiki kualiti alam sekitar."

Pada tahun 2014, China akan memperhebat usaha mengurangkan pelepasan bahan cemar dan mengawal jumlah penggunaan sumber tenaga.

Pakar penyakit pernafasan yang terkenal dan juga wakil NPC, Zhong Nanshan menyatakan, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi tidak berguna sekiranya rakyat tidak sihat. Beliau berkata, "Usaha untuk mengawal jerebu melibatkan pelbagai sektor termasuk batu arang, keluli dan besi waja, simen, automotif dan pengangkutan. Usaha berkenaan perlu dilakukan secara serantak di pelbagai tempat. Saya berasa optimistik terhadap alam sekitar di China pada masa depan."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China