Persidangan tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC) yang dihadiri oleh 2,910 orang wakil NPC berakhir di Beijing hari ini. Laporan kerja kerajaan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Li Keqiang telah diluluskan dalam persidangan itu selepas pindaan dibuat terhadap 16 perkara.
NPC merupakan badan berkuasa tertinggi di China. Wakil NPC berasal dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk kaum tani, pekerja dan juga pegawai kerajaan dari pelbagai peringkat.
Sistem Kongres Rakyat menumpukan usaha kepada isu yang berkaitan dengan rakyat. Dalam tempoh 60 tahun sejak ditubuhkan, NPC telah menggubal empat Perlembagaan serta beberapa pindaan Perlembagaan untuk negara ini. Selain itu, NPC juga berperanan dalam membuat pelbagai keputusan yang penting termasuk meluluskan projek pembinaan Empangan Tiga Gaung di Sungai Yangtze dan menetapkan hari memperingati kemenangan Perang Anti-Jepun serta mangsa pembunuhan beramai-ramai Nanjing dalam Perang Dunia II.
Dalam tempoh setahun yang lalu, NPC telah memperhebat kawal selia terhadap pentadbiran kerajaan dan fungsi Mahkamah Rakyat Tertinggi serta Jabatan Pendakwa Raya Rakyat Tertinggi. Kawal selia itu melibatkan pelbagai bidang, khususnya yang berkait rapat dengan kepentingan rakyat seperti bajet dan akaun akhir kerajaan, laporan kerajaan mengenai proses urbanisasi, usaha membasmi kemiskinan di kawasan luar bandar serta pelaksanaan Undang-undang Pendidikan Wajib di negara ini. Di samping itu, Jawatankuasa Tetap NPC juga memperkasakan kawal selia terhadap penggunaan kuasa oleh kerajaan pelbagai peringkat. Hal ini selaras dengan tumpuan masyarakat awam kepada usaha antirasuah pada masa ini.
Kongres Rakyat merupakan sistem politik asas di China. Sistem itu sudah terbukti selaras dengan keadaan negara China di samping melambangkan ciri-ciri negara sosialis yang memastikan ketuanan rakyat di negara ini. Sejajar dengan perubahan keadaan sosioekonomi China, sistem tersebut juga perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.
Menurut pandangan sesetengah wakil NPC, untuk memperbaiki sistem ini, proses perundangan mesti diperbaiki terlebih dahulu. Untuk itu, rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat sepatutnya diberikan lebih banyak hak dan peluang untuk mengambil bahagian dalam proses perundangan. Di samping itu, beberapa jawatankuasa khas NPC perlu diberi kuasa yang lebih dalam usaha kawal selia, penyiasatan dan mengemukakan usul. Wakil NPC yang mempunyai latar belakang profesional hendaklah diserap sebagai ahli jawatankuasa khas tersebut.