Cari:
Laluan Sutera Maritim Terajui Kerjasama China-ASEAN
2014-03-14 14:12:43 CRI Cetak

Pembangunan Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 antara salah satu usaha dalam laporan kerja kerajaan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Li Keqiang dalam majlis perasmian persidangan tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC) baru-baru ini. Gagasan ini dikemukakan oleh Presiden China, Xi Jinping ketika melawat ke Indonesia pada tahun lalu, yang turut menggariskan usaha mengembangkan hubungan kerjasama baharu antara China dengan ASEAN. Jika diteliti dari segi sejarah, Laluan Sutera Maritim ialah sebuah laluan maritim antarabangsa penting yang menghubungkan negara-negara Asia Tenggara, Laut China Selatan, Selat Melaka, Lautan Hindi sehingga ke negara-negara Asia Barat, Afrika, malah Eropah. Selaku titik permulaan bagi Laluan Sutera Maritim ini, rantau Asia Tenggara memainkan peranan sebagai pengantara yang penting bagi menghubungkan rantau-rantau yang lain. Duta Besar Laos ke China, Somdy Bounkhoum menyatakan bahawa pembangunan Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 merupakan satu langkah yang amat bermakna bagi memacu kerjasama serantau. Kata beliau: "Gagasan membangunkan Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 mempunyai makna yang amat penting bagi memperkasakan hubungan persahabatan dan kerjasama antara China dengan negara-negara ASEAN. Ini bakal membuka platform baharu bagi mengintensifkan kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi dan perdagangan."

Sejak Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) ditubuhkan pada tahun 2010, jumlah perdagangan China-ASEAN telah melebihi USD 400 bilion. Kebanyakan barangan yang diperdagangkan antara kedua-dua pihak diangkut melalui laluan maritim. Sehubungan dengan itu, kemudahan infrastruktur di pelabuhan-pelabuhan serantau yang kurang sempurna serta pertukaran lawatan yang kurang rancak tidak lagi selaras dengan peningkatan kerjasama semasa ini. Maka, usaha mewujudkan kesalinghubungan maritim dan memudahkan lagi perdagangan dan pelaburan amat perlu bagi memperdalam kerjasama China-ASEAN. Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) yang juga Ketua Pengarah Bahagian Pengajian Antarabangsa, Akademi Sains Sosial China, Zhang Yunling berkata: "Pembangunan Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 merangkumi usaha pembinaan infrastruktur serantau. Yang perlu diberi keutamaan ialah kesalinghubungan pelabuhan serantau. Pelabuhan serantau disarankan membuka pintu antara satu sama lain supaya pengangkutan dan perdagangan dapat dipermudahkan. Usaha ini tidak dapat dijayakan oleh sesebuah negara sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai negara."

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China