Pada petang 19 Mac lalu, empat orang ahli keluarga penumpang pesawat MH370 dari China datang ke tempat sidang media yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan membawa sepanduk yang menggesa pihak Malaysia mengeluarkan maklumat yang sebenar dan mengumumkan keputusan siasatan berkaitan pesawat yang hilang itu secepat mungkin.
Wartawan CRI ke Kuala Lumpur, Zhao Ying telah membuat wawancara eksklusif dengan seorang ahli keluarga itu pada malam 19 Mac.
Seorang ahli keluarga penumpang tersebut berkata, beliau enggan namanya didedahkan, namun ingin menjelaskan beberapa perkara melalui media. Menurut beliau, keempat-empat mereka mengadakan bantahan dan berdialog dengan pegawai kerajaan Malaysia di lokasi sidang media itu demi mendesak kerajaan Malaysia supaya meningkatkan ketelusan maklumat, mempercepat operasi mencari dan menyelamat(SAR) serta penyiasatan agar mereka mendapat maklumat tentang pesawat yang hilang itu dan penumpang-penumpang berkenaan dengan secepat mungkin.
Menurutnya, bantahan itu tidak menyasar kepada Kedutaan Besar China di Malaysia, kumpulan kerja atau kakitangan Malaysia Airlines (MAS), berikutan mereka telah berusaha sedaya upaya untuk memberikan layanan yang baik kepada ahli keluarga penumpang, dan ahli-ahli keluarga penumpang China amat berterima kasih atas bantuan tersebut.
Menurut beliau, ahli-ahli keluarga penumpang China mengemukakan permintaan supaya kerajaan Malaysia memberikan taklimat tentang misi SAR kepada mereka setiap hari. Permintaan itu telah dipersetujui oleh pihak Malaysia.
Beliau turut menolak laporan yang menyatakan ahli keluarga penumpang China diasingkan dan dipantau oleh MAS dan mendakwa laporan itu kurang adil terhadap MAS, kumpulan kerja China dan Kedutaan Besar China di Malaysia.
Beliau berkata ahli-ahli keluarga penumpang ingin memberitahu keadaan yang sebenar kepada orang awam melalui media bahawa ahli keluarga mereka di China amat bimbang terhadap keadaan mereka di Malaysia. Berita tentang mereka telah 'dikurung' di Kuala Lumpur tidak benar. Sebaliknya mereka bebas berjalan dan menelefon, malah berdoa di kuil sehingga balik ke tempat penginapan pada pukul 12 malam.
Sebahagian ahli keluarga penumpang China telah pulang ke China, namun kebanyakan mereka akan terus menunggu di Kuala Lumpur.
Semua ahli keluarga penumpang China berharap agar pesawat itu dapat ditemui secepat mungkin.