Lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ke Jepun, Republik Korea (RoK), Malaysia dan Filipina yang dimulakan hari ini menimbulkan spekulasi masyarakat dunia bahawa lawatan itu adalah untuk mengekang kuasa China.
Timbalan Ketua bagi Hal-Ehwal Asia Suruhanjaya Keselamatan Negara Rumah Putih, Evan Medeiros ketika menjelaskan tujuan sebenar lawatan Presiden AS ini berkata, bagi AS, tindakan mengekang kuasa China tidak memberi apa-apa makna. Nilai perdagangan kedua-dua negara ini sudah mencatat USD 500 bilion, oleh itu AS memberi tumpuan yang lebih kepada kepentingan bersama. Ini bermaksud, AS dan China harus merapatkan kerjasama dalam usaha menangani ancaman global dan mengatasi cabaran keselamatan dan kemakmuran yang menjadi asas bagi usaha menjalin hubungan kuasa besar yang serba baharu.