Cari:
Panda, Simbol Hubungan China-Malaysia
2014-05-22 14:58:05 CRI Cetak

Pasangan panda, Fu Wa (jantan) dan Feng Yi (betina) yang dipinjamkan oleh kerajaan China kepada Malaysia selama 10 tahun, selamat tiba di Kompleks MAS Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Malaysia pagi semalam. Program penghantaran panda itu adalah sempena memperingati ulang tahun ke-40 terjalinnya hubungan diplomatik kedua-dua negara. Penghantaran pasangan panda itu telah ditunda sebelum ini akibat berlakunya tragedi kehilangan pesawat MH 370.

Bahagian Bahasa Melayu Radio Antarabangsa China (CRI) turut menyiarkan berita dan rakaman video berkenaan melalui laman Facebook dan blog mikro, yang mendapat sambutan hangat daripada pengguna internet Malaysia. Mereka berharap pasangan panda itu hidup dengan selesa dan sihat di negara mereka.

Malaysia telah membina ruang yang baharu untuk panda di Zoo Negara. Suasana di ruang itu amat selesa dengan suhu yang dikekalkan pada 15 hingga 25 darjah Celsius. Seramai lima orang pakar dari China dan Malaysia menjaga pasangan panda itu 24 jam sehari.

Bermula bulan September tahun lalu, Malaysia telah menghantar beberapa jenis buluh tempatan ke Ya'an, tempat kediaman pasangan panda tersebut untuk mereka cuba makan. Buluh Malaysia itu didapati sesuai sebagai makanan mereka. Setelah dikuarantin selama 30 hari terlebih dahulu, pasangan panda itu dijangka dapat dilihat oleh pengunjung Zoo Negara pada akhir Jun nanti. Selepas itu, zoo tersebut dijangka menerima 3,800 orang pelawat setiap hujung minggu. Setahun sebelum ini, Malaysia telah mengumpulkan nama baharu untuk pasangan panda tersebut. Keputusannya bakal diumumkan tidak lama lagi.

Malaysia merupakan negara ASEAN pertama yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China. Meskipun tragedi pesawat MH 370 dianggap telah menjejaskan sedikit sebanyak hubungan tersebut, kedua-dua negara tetap yakin akan perkembangannya pada masa akan datang. Ketibaan pasangan panda kali ini dipercayai dapat memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China