Cari:
Pesawat MH17 Terhempas di Timur Ukraine
2014-07-18 15:46:05 CRI Cetak

Sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 Boeing 777-200 terhempas di timur Ukraine yang bersempadan dengan Rusia semalam. Kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal telah disahkan terkorban dalam tragedi kali ini. Pesawat itu berlepas dari Amsterdam, Belanda dan dijadualkan tiba di KLIA pada pukul 6.10 pagi hari ini waktu tempatan.

Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Najib Tun Razak dalam sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur subuh tadi berkata, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) telah mengesahkan laluan penerbangan pesawat MH17 adalah selamat. Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) pula mengesahkan, ruang udara yang direntasi pesawat itu tidak tertakluk kepada sekatan. Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mengumumkan, pihaknya tidak menerima sebarang isyarat kecemasan daripada pesawat tersebut. Pada masa ini, punca tragedi ini masih belum dapat dipastikan. Dato' Sri Najib berkata, pusat operasi kecemasan telah ditubuhkan, dan dalam masa beberapa jam yang lalu, pegawai Malaysia telah menghubungi pegawai Ukraine dan pihak-pihak yang berkaitan. Malaysia akan menghantar kumpulan bantuan dan penyelamat ke Kiev dengan menaiki penerbangan khas.

Najib telah berkomunikasi dengan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, Presiden Ukraine, Petro Poroshenko dan Presiden AS, Barack Obama. Mark Rutte berjanji akan mengadakan siasatan yang menyeluruh, bebas dan telus. Pegawai Malaysia akan diundang menyertai siasatan tersebut. Manakala, Petro Poroshenko menyampaikan simpati kepada waris mangsa tragedi kali ini. Pihaknya akan mengadakan rundingan dengan kumpulan bersenjata antikerajaan untuk menubuhkan koridor kemanusiaan ke tempat serpihan pesawat.

Jurucakap Kementerian Luar China Qin Gang berkata, pihaknya menyampaikan rasa dukacita atas insiden kali ini. China akan memantau keadaan semasa dan mengekalkan interaksi dengan pihak yang berkenaan untuk mengambil langkah yang sewajarnya.

Kerajaan Ukraine dan kumpulan bersenjata di kawasan timur negara itu masing-masing menafikan terlibat dalam tragedi tersebut. Presiden Petro Poroshenko telah mengarahkan kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa siasatan dan menyeru pertubuhan antarabangsa menyertai siasatan kali ini.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China