Cari:
Semakin Ramai Rakyat China Pilih Melancong Ke Luar Negara Pada Cuti Hari Kebangsaan
2014-10-03 13:17:44 CRI Cetak

Pada tempoh cuti seminggu sempena Hari Kebangsaan China, destinasi-destinasi pelancongan di China dibanjiri pelancong. Ketika rakan-rakan sekerjanya merungut tentang keadaan tersebut, Cik Sun yang berasal dari Beijing pula sedang menikmati percutiannya di Pulau Jeju di Republik Korea dengan mengikuti pakej pelancongan selama empat hari yang berkos RMB 3,380.

Bagi Cik Sun, melancong ke luar negara memang pilihan yang bijak. Katanya, "Kos untuk melancong ke luar negara tidak semahal pelancongan dalam negeri, dan kami juga dapat membeli-belah di kedai bebas cukai." Harga yang murah bukanlah satu-satunya sebab mengapa Cik Sun memilih untuk melancong ke luar negara, dia juga ingin mengelakkan destinasi pelancongan China yang selalu dipenuhi pengunjung semasa cuti umum.

Kebanyakan orang China sukar mendapat cuti bergaji, jadi cuti panjang sempena Hari Kebangsaan China dan Tahun Baharu Cina menjadi peluang keemasan untuk mereka pergi melancong. Menurut hasil kajian Institut Penyelidikan Pelancongan China, destinasi pelancongan di China dijangka akan menerima seramai 480 juta pengunjung pada cuti seminggu sempena Hari Kebangsaan China tahun ini, iaitu meningkat 13% berbanding tahun lalu.

Pada hari pertama dalam percutian "minggu emas" ini, jumlah pengunjung di Kota Larangan Beijing hampir mencecah 70 ribu orang setakat pukul dua petang. Lautan manusia juga dilihat di Kuil Konfusius di Nanjing, Tasik Barat di Hangzhou dan tempat-tempat lain. Ini mengakibatkan kesesakan lalu lintas, kenaikan harga tiket dan ketidakselesaan para pelancong. Oleh sebab itulah, semakin ramai orang China memilih melancong ke luar negara. Menurut statistik yang diumumkan oleh Ctrip iaitu laman web perkhidmatan pelancongan China yang terkenal, pelancongan ke luar negara semasa cuti Hari Kebangsaan dijangka menduduki 20% daripada jumlah pelancongan ke luar negara sepanjang tahun ini di China.

Menurut sesetengah pihak, tindakan kerajaan China menggalakkan perkembangan pelancongan ke luar negara, proses permohonan visa yang semakin mudah, perhatian yang diberikan oleh negara lain terhadap pasaran pelancongan China, dan kenaikan nilai mata wang RMB, semua ini menjadi faktor yang merangsang pasaran pelancongan ke luar negara di China.

Menurut laporan Biro Pelancongan Kebangsaan China, penggunaan bagi pelancongan ke luar negara di seluruh China pada separuh tahun pertama ini mencatat lebih USD 70 bilion iaitu meningkat kira-kira 20.7% berbanding tahun lalu, manakala pendapatan pelancongan dari luar negara China pula menurun 1.8%. Sehubungan dengan itu, bagaimana menyempurnakan pengalaman melancong di dalam negeri China, mengurangkan defisit pelancongan dan mendorong perkembangan sihat industri pelancongan dalam negeri merupakan masalah yang perlu ditangani oleh sektor pelancongan China kini.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China