Jurucakap Kementerian Luar China, Qin Gang semalam mengumumkan bahawa Sidang Kemuncak Tidak Rasmi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-22 yang bertemakan "Jalin Perkongsian Asia Pasifik Demi Masa Depan" akan diadakan di Beijing pada 10 dan 11 November nanti. Presiden China, Xi Jinping akan mempengerusikan sidang tersebut.
Kini, ekonomi dunia berdepan dengan banyak risiko dan cabaran. Proses pemulihan ekonomi amat perlahan dan asasnya agak lemah. Asia Pasifik merupakan rantau yang memiliki populasi paling ramai, kuota Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) paling besar, dan pertumbuhan ekonomi paling dinamik di dunia. Pihak-pihak berkenaan perlu berganding bahu menjadikan Asia Pasifik rantau yang ekonominya berkembang paling pesat dan berpotensi paling besar, sekali gus enjin utama bagi pemulihan dan pembangunan ekonomi dunia, selaras dengan sasaran mengekalkan kedamaian dan kestabilan, meneroka kerjasama dan mendorong pembangunan.
Sebagai anggota APEC, China sentiasa berusaha mendorong pembangunan Asia Pasifik melalui pembangunan sendiri, dan menyediakan peluang untuk kemakmuran Asia Pasifik melalui pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka. Pada tahun 2013, jumlah perdagangan China dengan anggota APEC lain mencatat USD 2.5 trilion, menduduki 60% daripada jumlah keseluruhan perdagangan luar China. Antara sepuluh rakan dagang terbesar China, terdapat lapan anggota APEC. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan bahawa sumbangan China terhadap pertumbuhan ekonomi global pada tahun 2014 bakal mencatat 27.8%. Pembangunan ekonomi China secara berterusan dan sihat akan turut menjana pembangunan ekonomi Asia Pasifik bahkan dunia.
Tahun ini merupakan ulang tahun ke-25 penubuhan APEC, dan juga ulang tahun ke-20 pengemukaan Sasaran Bogor. Maka, sidang kali ini dianggap amat bermakna bagi perkembangan kerjasama ekonomi di rantau Asia Pasifik pada masa depan. Pihak-pihak terlibat akan mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan integrasi ekonomi di rantau Asia Pasifik, memacu pembangunan ekonomi melalui inovasi, meningkatkan kesalinghubungan dari segenap aspek serta pembinaan infrastruktur. Selain itu, pembangunan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik juga akan dimulakan pada tahun ini. Peta garisan APEC bagi kawasan perdagangan bebas itu akan ditetapkan untuk menghapuskan halangan kepada kesalinghubungan di rantau berkenaan.