Mesyuarat pegawai kanan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang diadakan di Beijing pagi ini merupakan langkah awal persiapan merasmikan Sidang Kemuncak Tidak Rasmi APEC dari 11 hingga 12 Oktober nanti. Ini juga menandakan bahawa Minggu Persidangan Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC 2014 dibuka tirainya. Selepas 13 tahun berlalu, China sekali lagi menjadi tuan rumah sesi persidangan APEC.
Tahun ini merupakan ulang tahun ke-25 penubuhan APEC. Pada 25 tahun yang lalu, 12 buah negara di kawasan Asia Pasifik bersama-sama mengumumkan pembentukan pertubuhan serantau itu. Berbanding dengan peristiwa-peristiwa besar yang berlaku di dunia pada ketika itu, seperti kerobohan Tembok Berlin dan pengakhiran Perang Dingin, penubuhan organisasi tersebut kurang menarik perhatian ramai. Namun, melalui proses pembangunan yang tidak henti-henti, pengaruh pertubuhan ini semakin meluas sehingga menjadikannya sebuah mekanisme dialog dan kerjasama yang penting di persada antarabangsa.
Menteri Luar China, Wang Yi memaklumkan, sesi persidangan yang bertemakan "Jalin Perkongsian Antara Asia Pasifik demi Masa Hadapan" itu diharapkan dapat mencapai kemajuan baharu dalam tiga aspek, iaitu memulakan proses Zon Perdagangan Bebas (FTA) Asia Pasifik, memberikan daya pendorong baharu kepada pertumbuhan ekonomi serantau dan menggaris rangka tindakan pewujudan kesalinghubungan komprehensif di rantau berkenaan.
Naib Pengarah Institut Hubungan Antarabangsa Universiti Renmin China, Jin Canrong menyifatkan ketiga-tiga topik perbincangan tersebut sebagai "amat penting dan dapat dilaksanakan" serta akan mencapai sedikit sebanyak kemajuan, khususnya tentang proses pelancaran FTA.
Pendapat umum menganalisis, peta garisan FTA Asia Pasifik yang bakal didedahkan sempena persidangan kali ini akan menjadi fokus utama. Sebenarnya, konsep FTA berkenaan sudahpun dikemukakan dalam persidangan APEC di Hanoi, Vietnam seawal tahun 2006, namun gagal mencapai kemajuan hakiki dalam tempoh beberapa tahun lalu. Serentak dengan itu, mekanisme kerjasama ekonomi dua hala dan pelbagai hala di kawasan Asia Pasifik muncul satu demi satu, termasuk Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang diterajui oleh Amerika Syarikat.
Naib Pengarah Institut Hubungan Antarabangsa Universiti Peking, Wang Yizhou menyatakan, terdapat kira-kira 10 proses subrantau yang berbeza dalam keluarga APEC. China berharap agar mendorong kerjasama antara Asia Pasifik secara menyeluruh. Ini bukan tindakan mengetepikan mekanisme lain seperti TPP, sebaliknya mengusahakan integrasi serantau kerana ekonomi global semakin menonjolkan ciri-ciri yang saling melengkapi.
Dalam tempoh seminggu akan datang, beberapa banyak pemimpin asing akan memulakan lawatan mereka ke China sempena berlangsungnya sesi persidangan APEC berkenaan. Ini juga akan diberi tumpuan yang penuh.