Sesi persidangan Pertubuhan Kerjasama Asia-Pasifik (APEC) dirasmikan di Beijing semalam. Sama ada para pemimpin anggota APEC dapat memperkasakan integrasi ekonomi serantau atau tidak amat menarik perhatian pelbagai pihak.
Mendorong integrasi ekonomi serantau merupakan salah satu daripada tiga topik utama bagi sidang APEC kali ini. Menurut Matlamat Bogor yang dikemukakan dalam sidang APEC di Jakarta pada tahun 1994, negara-negara anggota telah menetapkan pelan untuk mewujudkan liberalisasi perdagangan dan pelaburan di rantau ini menjelang tahun 2020. Matlamat itu menjadi asas bagi integrasi ekonomi di rantau Asia-Pasifik. Sidang APEC yang diadakan di Yokohama, Jepun pada tahun 2010 telah mengemukakan sasaran penubuhan Perjanjian Perdagangan Bebas Asia-Pasifik (FTAAP). Sidang APEC di Beijing, China kali ini akan berusaha untuk merealisasikan sasaran dan pelan tersebut.
Menubuhkan kawasan perdagangan bebas yang bersatu, inklusif, terbuka dan saling menguntungkan di rantau Asia-Pasifik akan membawa manfaat yang lebih besar kepada negara anggota. Kini terdapat standard yang berbeza-beza di pelbagai kawasan perdagangan bebas di rantau ini. Syarikat-syarikat terpaksa mengambil masa yang lebih lama dan menggunakan kos yang lebih tinggi untuk menyesuaikan diri dengan dasar-dasar yang berlainan. Kawasan perdagangan bebas yang bersatu dan terbuka akan merangsang kedinamikan pasaran, menyempurnakan pembahagian sumber serta meningkatkan keefisienan ekonomi di rantau ini.
Integrasi ekonomi serantau serta kesalinghubungan dan pembinaan infrastruktur dari pelbagai segi dapat saling mendorong. China sentiasa menyokong dan menyertai proses integrasi ekonomi di rantau Asia-Pasifik dan bersikap terbuka tentang sebarang perkara yang berkaitan dengan proses tersebut. China menyediakan dana bagi membina Bank Infrastruktur Asia merupakan contoh terbaru yang menunjukkan kesungguhan negara ini.
Sejarah telah membuktikan, saling menguntungkan merupakan asas bagi kerjasama yang kekal dan stabil. Kawasan perdagangan bebas yang boleh membawa manfaat kepada pelbagai entiti ekonomi merupakan konsensus dan visi pemimpin anggota APEC.