Sidang tidak rasmi pemimpin-pemimpin pertubuhan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) akan dirasmikan di Beijing pada 11 November ini. Presiden baharu Indonesia, Joko Widodo akan menghadiri sidang kali ini. Ini merupakan kali pertama Joko Widodo menghadiri persidangan antarabangsa yang penting sejak beliau menyandang jawatan pada 20 Oktober lalu, sekali gus menjadikan China negara pertama yang dilawatinya selaku presiden. Duta besar Indonesia ke China, Sugeng Rahardjo ketika diwawancara baru-baru ini berkata, pembangunan ekonomi di rantau Asia-Pasifik memerlukan negara-negara besar termasuk China dan Indonesia. Pertumbuhan ekonomi China akan merangsang pembangunan dunia. Beliau berkata, "Pembangunan Asia merupakan lambang bagi abad ke-21. Titik berat pembangunan dunia berpindah dari Eropah dan AS ke rantau Asia-Pasifik. Pemulihan ekonomi dunia pada masa sekarang memerlukan pembangunan ekonomi di rantau ini. Sebagai enjin pembangunan ekonomi di Asia-Pasifik, China akan merangsang pembangunan dunia."
Menurut Sugeng, sesi persidangan APEC memainkan peranan yang penting bagi pembangunan dan kerjasama ekonomi di rantau Asia-Pasifik, manakala sidang tidak rasmi pemimpin-pemimpin APEC menjadi kunci bagi pembangunan serantau malah seluruh dunia. Anggota APEC dikehendaki melaksanakan sepenuhnya kata sepakat yang tercapai dalam sesi persidangan kali ini agar mekanisme APEC memainkan peranan yang lebih berkesan bagi merangsang pembangunan ekonomi serantau. Beliau berkata, "Setiap anggota dikehendaki melaksanakan sepenuhnya kata sepakat yang dicapai dalam sesi persidangan APEC, contohnya dalam perdagangan, pelaburan, perkhidmatan dan lain-lain bidang kerjasama. Hanya dengan berbuat demikian barulah daya saing dan taraf perdagangan setiap anggota dapat ditingkatkan."
Tambah beliau, "Indonesia ingin menimba pengalaman dan teknologi canggih daripada China dalam pembinaan pelabuhan. Kami berharap dapat membina pelabuhan yang moden seperti Hong Kong, Tianjin dan Xiamen di China. Pada masa yang sama, kami juga ingin menarik penglibatan lebih ramai pelabur China dalam bidang berkenaan."