Sidang Kemuncak ASEAN dirasmikan di Naypyidaw, Myanmar hari ini. Pertubuhan serantau yang berusia 47 tahun ini akan mewujudkan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada tahun 2015, dan ini langkah yang penting ke arah integrasi. Selepas berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN hari ini dan Siri Persidangan Asia Timur esok, Myanmar yang merupakan negara pengerusi bergilir ASEAN sekarang akan menyerahkan jawatan tersebut kepada Malaysia.
Penubuhan AEC pada tahun depan merupakan topik perbincangan utama dalam Sidang Kemuncak ASEAN kali ini. Menurut Cetak Biru AEC yang diumumkan pada tahun 2007, sebuah pasaran dan pangkalan pengeluaran yang bersatu yang meliputi populasi seramai 600 juta akan dibentuk di ASEAN menjelang tahun 2015. Ia bakal mewujudkan pengaliran bebas barangan, perkhidmatan, pelaburan, pekerja dan modal, di samping menjamin pembangunan ekonomi yang seimbang, serta mendorong usaha membasmi kemiskinan dan mengecilkan jurang perbezaan sosioekonomi. Bagaimanapun, hampir 20% usaha bagi pembinaan komuniti itu masih belum disiapkan. Ada penganalisis yang berpandapat bahawa ini merupakan cabaran yang besar kerana antara usaha-usaha yang belum diselesaikan itu termasuk membatalan halangan bukan tarif antara negara-negara anggota, langkah selanjutnya untuk menggalakkan pengaliran modal dan tenaga insan, serta perbincangan mengenai perjanjian perdagangan perkhidmatan dan pelaburan. Sama ada pemimpin-pemimpin anggota ASEAN dapat mencapai kemajuan baharu dalam masalah-masalah tersebut, menarik tumpuan umum.
Selain itu, sidang kemuncak kali ini juga akan membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan usaha menggalakkan kerjasama politik dan keselamatan serantau. Dalam Siri Persidangan Asia Timur yang akan dirasmikan esok, ASEAN akan mengalu-alukan kehadiran pemimpin dari China, A.S., Jepun dan Republik Korea. Wadah ini amat penting bagi setiap negara di rantau ini.
Pada masa ini, kerajaan Myanmar telah pun menyelesaikan kerja persiapan untuk menjayakan sidang kemuncak kali ini. Kawalan keselamatan dijalankan dengan ketat, pengangkutan dan penginapan yang disediakan kepada para peserta juga dijaga dengan baik. Dalam tempoh setahun sebagai negara pengerusi bergilir ASEAN, Myanmar telah mengadakan lebih seribu persidangan besar atau kecil di beberapa bandar. Ini bukan pencapaian yang mudah bagi mana-mana negara pun, terutamanya negara yang kurang maju seperti Myanmar. Setelah hampir tiga tahun menjalankan pembaharuan, tahap keterbukaan Myanmar semakin meningkat manakala situasi politik dan keselamatan dalam negeri juga bertambah baik. Penganjuran persidangan kali ini juga mencerminkan kemajuan yang telah dicapai oleh negara itu.