Sidang Kemuncak ASEAN dan Siri Persidangan Asia Timur yang berlangsung selama dua hari di Nay Pyi Taw, Myanmar berakhir semalam. Anggota-anggota ASEAN dan pihak-pihak lain yang berkepentingan termasuk China telah mengadakan rundingan untuk menggalakkan integrasi serantau dan mempertingkat kerjasama Asia Timur serta merangka cetak biru bagi pembangunan serantau pada masa depan.
Selepas rundingan selama dua hari, Presiden Myanmar, U Thein Sein dalam majlis penutup sidang itu mengumumkan pelbagai hasil yang telah dicapai. Beliau berkata,
"Sidang Kemuncak ASEAN kali ini membuahkan hasil yang memberangsangkan, antaranya Perisytiharan Nay Pyi Taw mengenai Wawasan Pembangunan Komuniti ASEAN Selepas Tahun 2015, dan Perisytiharan Meningkatkan Sekretariat ASEAN dan Mekanisme Menilai ASEAN. Ini sebagai Cetak biru bagi pembangunan Komuniti ASEAN pada masa depan."
Menurut jadual sebelum ini, Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) akan siap dibina menjelang penghujung tahun 2015. Setakat ini, 80% usaha bagi pembinaan komuniti itu telah diselesaikan. Bagi Malaysia, negara pengerusi bergilir ASEAN yang seterusnya, bagaimana menggalakkan negara-negara anggota menyelesaikan 20% usaha yang belum diselesaikan merupakan tugas yang mencabar. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata,
"Keutamaan kami pada tahun depan adalah untuk mewujudkan Peta Garisan Komuniti ASEAN. Malaysia akan mengetuai ASEAN mewujudkan pelbagai matlamat, antaranya menggalakkan pembinaan komuniti, menetapkan cetak biru bagi pembangunan selepas tahun 2015, menangani perselisihan serantau melalui penyelarasan, serta mewujudkan keamanan dan keselamatan serantau."
Menurut Perisytiharan Nay Pyi Taw mengenai Wawasan Pembangunan Komuniti ASEAN Selepas Tahun 2015 dan Deklarasi Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN, ASEAN akan terus berusaha membina tiga komuniti bersama, iaitu komuniti ekonomi, komuniti keselamatan politik dan komuniti sosiobudaya. Negara-negara ASEAN akan bersama-sama menangani pelbagai cabaran dalam proses integrasi.
Ketua Editor Kumpulan Multimedia Negara Thailand, Thepchai Yong berkata, setakat ini, pencapaian dalam proses integrasi ekonomi paling ketara. Negara-negara ASEAN perlu lebih giat menggalakkan pembinaan komuniti sosiobudaya kerana ia berkait rapat dengan setiap rakyat ASEAN.