
Pusingan baharu rundingan antara Iran dan enam kuasa dunia berhubung program nuklear Teheran berakhir di Geneva, Switzerland semalam. Sama seperti rundingan yang lalu, rundingan kali ini masih tidak banyak kemajuan dalam isu-isu substantif.
Timbalan Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi ketika diwawancara selepas rundingan tersebut menyatakan bahawa pihak-pihak terlibat mengadakan perbincangan yang serius tentang semua masalah dan rundingan tersebut sangat berfaedah. Namun, beliau juga menegaskan, semua pihak masih berusaha untuk mengurangkan perselisihan pendapat dalam beberapa isu penting.
Menteri Luar Perancis, Laurant Fabius menyatakan, walaupun rundingan tersebut diadakan dalam suasana yang baik, namun beliau tidak menganggap rundingan pusingan ini telah mencapai kemajuan yang dihasratkan.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Senjata Kementerian Luar China, Wang Qun menyifatkan rundingan pusingan ini sebagai intensif, praktikal dan mendalam serta berjaya memperluas konsensus.
China berharap semua pihak mengambil peluang bersejarah ini, menunjukkan kesungguhan politik dan keazaman bagi mencapai pakej penyelesaian agar perjanjian menyeluruh yang saling menguntungkan dapat dimuktamadkan seawal mungkin.








