Forum Ekonomi Media Bahasa Mandarin Dunia yang bertemakan "Strategi Baharu, Peluang Baharu" dirasmikan di kaunti Chengmai, provinsi Hainan China kelmarin. Seramai lebih 200 orang dari 24 buah negara dan wilayah, termasuk wakil daripada lebih 60 media bahasa Mandarin, wakil bandar pelancongan China dan Asia Tenggara, pegawai kerajaan dan sarjana menghadiri forum tersebut.
Naib Ketua Pengarah Jabatan Hal-Ehwal Perantau Dewan Negara China, He Yafei, dalam majlis perasmian forum tersebut menyatakan bahawa China sudah cukup syaratnya untuk melaksanakan gagasan membangunkan Jalur Ekonomi Laluan Sutera dan Laluan Sutera Maritim Abad ke-21 (OBAOR). Namun, pembangunan OBAOR akan berdepan dengan cabaran dari segi politik, keselamatan dan ekonomi. Oleh itu, usaha tersebut perlu dilaksanakan secara berperingkat.
Beliau mencadangkan agar usaha dilakukan untuk mengintensifkan kesalinghubungan infrastruktur, dan kerjasama dengan negara-negara berkenaan dalam bidang industri, pelancongan, sumber tenaga dan kewangan serta kerjasama maritim dan ekologi. Beliau turut mengemukakan saranan untuk menggalakkan rundingan dan penaiktarafan kawasan perdagangan bebas antara China dengan negara-negara di sepanjang laluan sutera, termasuk negara ASEAN dan India, serta memulakan rundingan perjanjian perdagangan bebas Asia Pasifik secepat mungkin.