Kerajaan China menetapkan sasaran untuk membangunkan masyarakat yang kaya, mengintensifkan pembaharuan dengan menyeluruh, mentadbir negara mengikut undang-undang dan mendisiplinkan anggota Parti Komunis China (PKC) dengan peraturan yang ketat. Empat perkara ini menjadi panduan jelas bagi usaha PKC dan kerajaan China yang melibatkan pelbagai bidang penting pada masa ini dan masa depan.
Persidangan Tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC) dan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) yang akan diadakan pada bulan Mac terutamanya rancangan pembaharuan dan pembangunan negara yang akan dikeluarkan nanti menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat China. Banyak isu lain juga telah menjadi fokus masyarakat awam.
Tahun 2015 merupakan tahun yang amat penting bagi mengintensifkan pembaharuan yang melibatkan pelbagai bidang. Masyarakat awam sedang menanti-nantikan langkah-langkah berkenaan yang akan dikeluarkan dalam persidangan itu serta masalah-masalah yang akan diselesaikan pada tahun ini.
Berdasarkan situasi ekonomi baharu China sekarang, sama ada unjuran kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan diturunkan atau tidak, perlu diputuskan oleh persidangan itu. Sebenarnya, sejak bulan Mei tahun lalu, "situasi ekonomi baharu China" selalu disebut-sebut dalam pelbagai laporan dan ulasan. Ini bukan sahaja bermakna kadar pertumbuhan ekonomi China telah diubahsuai, tetapi juga mencerminkan negara ini kini lebih mementingkan mutu pembangunan ekonomi.
Dalam Dokumen No.1 tahun 2015 yang dikeluarkan oleh kerajaan pusat China, isu kampung, pertanian dan petani sekali lagi menjadi fokus kerajaan dalam tempoh 12 tahun berturut-turut. Pendekatan dan tindakan baharu melibatkan pembaharuan desa dipercayai akan menjadi salah satu topik utama dalam persidangan NPC dan CPPCC tahun ini.
Dalam Sidang Kerja Ekonomi Kerajaan Pusat China yang diadakan tidak lama dahulu, peta garisan pembangunan ekonomi kawasan tahun 2015 telah ditetapkan. Peluang yang bakal didatangkan oleh rancangan itu turut menjadi fokus masyarakat awam.
Manakala, dalam usaha kerajaan China membanteras jenayah rasuah, lebih 80 orang pegawai peringkat provinsi atau lebih tinggi telah disiasat dan dikenakan hukuman dalam tempoh lebih dua tahun lalu. Usaha antirasuah pada tahun 2015 serta pembinaan kerajaan dan parti yang bersih tentu menjadi tumpuan masyarakat awam terhadap persidangan tahun ini.
Selain itu, beberapa isu yang lain yang turut menjadi fokus persidangan NPC dan CPPCC tahun ini, termasuk keadilan kehakiman, pemindaan undang-undang asas bagi mengemaskan kerja penggubalan undang-undang, pembaharuan terhadap sistem pendaftaran keluarga di sesebuah kawasan serta usaha melindungi alam sekitar dan ekologi.