Sesetengah media asing melahirkan kesangsian terhadap gagasan China untuk membangunkan "Satu Jalur, Satu Laluan" iaitu Jalur Ekonomi Laluan Sutera dan Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 (OBAOR), malah menyifatkannya sebagai "Rancangan Marshall versi China". Pada hakikatnya, OBAOR berbeza dengan Rancangan Marshall.
Pertama, terdapat perbezaan dari segi konsep. Selepas berakhirnya Perang Dunia II, negara-negara Eropah amat memerlukan bantuan dari luar bagi membangkitkan semula ekonomi mereka. Sehubungan dengan itu, AS mengemukakan Rancangan Pemulihan Eropah (ERP) yang lebih dikenali sebagai Rancangan Marshall untuk membantu negara-negara Eropah Barat memulihkan ekonomi, sekali gus meletakkan AS sebagai kuasa ekonomi terbesar di dunia. AS mahu menjadikan Eropah kekuatan penting untuk melawan Kesatuan Soviet dalam Perang Dingin melalui rancangan tersebut.
Sedangkan, gagasan membina OBAOR yang dikemukakan oleh Presiden China, Xi Jinping merupakan strategi untuk mendorong pembangunan secara damai dan kerjasama yang saling menguntungkan antara pelbagai negara. Asia merupakan rantau yang pembangunannya paling berpotensi dan paling dinamik di dunia pada masa ini. Serentak dengan itu, Asia juga berhadapan dengan cabaran keselamatan yang tertentu khususnya dalam pertikaian wilayah dengan jiran, persaingan geopolitik serta isu perkauman dan agama. Dalam pada itu, OBAOR bakal membantu menggalakkan keselamatan bersama dan pembangunan damai melalui kerjasama antara negara-negara terlibat.
Kedua, OBAOR dan Rancangan Marshall mempunyai tujuan asas yang berbeza. Pelaksanaan Rancangan Marshall bukan sekadar bagi tujuan ekonomi, tetapi juga memiliki tujuan politik. Untuk memperluas pengaruhnya di dunia demi menentang kem sosialis, AS amat memerlukan sekutu di Eropah Barat yang ekonominya stabil. Melalui bantuan yang diberikan dengan pelbagai syarat tambahan, Rancangan Marshall membolehkan AS mengawal Eropah Barat, sekali gus menjadikan negara-negara tersebut sangat bergantung kepada AS.
Sebaliknya, OBAOR bertujuan membentuk model baharu kerjasama ekonomi antarabangsa berdasarkan semangat damai, bersahabat, terbuka dan inklusif. Usaha mewujudkan kesalinghubungan bakal merancakkan hubungan ekonomi dan perdagangan antara negara-negara di sepanjang laluan sutera sekali gus membuka lembaran baharu pembangunan bersama berdasarkan prinsip saksama, inklusif, bersifat bekerjasama dan saling menguntungkan.
Ketiga, cara penglibatan negara-negara dalam Rancangan Marshall berbeza dengan OBAOR. Dalam Rancangan Marshall, AS memberi bantuan ekonomi termasuk membuat pelaburan secara sepihak kepada negara-negara Eropah dengan pelbagai syarat tambahan. Hal ini menjadikan negara-negara Eropah Barat sentiasa berada dalam kedudukan sebagai penerima pasif dan tidak boleh mengambil keputusan mengenai dasar ekonomi secara berdikari. Sedangkan, strategi OBAOR adalah berdasarkan prinsip saksama dan saling menguntungkan, yang membolehkan negara-negara terlibat mengadakan kerjasama dan perbincangan dengan kedudukan yang sama rata.