Cari:
Penubuhan AIIB Wujudkan Situasi Menang-menang
2015-03-23 15:08:34 CRI Cetak

Dalam sidang tahunan Forum Pembangunan China 2015 yang dirasmikan di Beijing semalam, Ketua Setiausaha Sekretariat Sementara Pelbagai Pihak Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB), Jin Liqun mendedahkan bahawa lebih 35 buah negara berhasrat menjadi anggota pengasas AIIB. Dalam forum itu, AIIB menjadi topik perbincangan utama para pegawai agensi antarabangsa dan pakar berwibawa dari luar China. Ini menggambarkan masyarakat antarabangsa semakin berkeyakinan terhadap penubuhan AIIB yang bertujuan mewujudkan situasi menang-menang.

Berikutan AIIB mendapat sambutan baik daripada semakin banyak negara, timbul pula persoalan mengenai hubungan badan ini dengan agensi-agensi antarabangsa pelbagai hala yang sedia ada. Adakah penubuhan AIIB bermakna China mahu menempuh jalan baharu? Menteri Kewangan China, Lou Jiwei yang menghadiri forum itu menegaskan lagi bahawa China dan agensi-agensi berkenaan mempunyai hubungan kerjasama dan saling melengkapi, bukan saling bersaing.

Pandangan ini disokong oleh Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde, Pengarah Urusan Bank Dunia, Sri Mulyani Indrawati dan Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB), Nakao Takehiko yang turut menghadiri forum tersebut. Mereka menganggap terdapat ruang kerjasama yang amat besar antara agensi antarabangsa sejagat dan serantau yang sedia dengan AIIB.

Lagarde mengalu-alukan AIIB yang dianjurkan oleh China, dan menyatakan bahawa pihaknya menganggap China mempunyai alasan kukuh untuk menubuhkan institusi kewangan pelbagai hala itu. Beliau berharap IMF dapat menawarkan pembiayaan untuk pembangunan infrastruktur walaupun itu bukan misi badan tersebut. Jadi IMF amat berharap dapat bekerjasama dengan AIIB. Tambah beliau, pembangunan infrastruktur amat diperlukan di banyak kawasan di seluruh dunia terutamanya di Asia. Ruang kerjasama antara IMF dengan AIIB sepatutnya lebih besar berbanding persaingan.

Dalam konteks ini, Sri Mulyani Indrawati menyatakan bahawa sebarang anjuran baharu untuk menawarkan dana bagi pembangunan infrastruktur di dunia akan mendapat sokongan. Menurut beliau, pasaran pembangunan infrastruktur sejagat cukup luas untuk menampung beberapa badan seumpama itu. Beliau menyatakan bahawa Bank Dunia akan menjalin hubungan kerjasama dengan AIIB. Sekarang, kedua-dua pihak sedang bekerjasama menggubal piawaian dan rangka bagi badan baharu tersebut.

Ketika menyampaikan ucapan dalam forum tersebut, Nakao Takehiko menyatakan bahawa pihaknya memahami sepenuhnya sebab China mengesyorkan penubuhan AIIB, kerana Asia memerlukan pelaburan infrastruktur yang agak banyak. Beliau berharap, AIIB dan ADB boleh memberikan sumbangan yang lebih besar kepada pembangunan Asia melalui kerjasama pada masa depan. ADB yang sedang menjalankan pembaharuan juga berharap dapat terus meningkatkan kemampuan pembiayaan.

Selain badan-badan antarabangsa tersebut, beberapa pakar dan sarjana dari negara lain menganggap bahawa penyertaan negara-negara Eropah dalam AIIB adalah pelaburan yang rasional, yang turut mencerminkan pengiktirafan dan keyakinan mereka terhadap anjuran China itu.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China