Sidang tahunan Forum Asia Boao 2015 yang akan berlangsung selama empat hari dirasmikan di provinsi Hainan hari ini. Presiden China, Xi Jinping akan menghadiri majis perasmian dan menyampaikan ucapan. Menurut laman sesawang Renmin, tiga isu akan menjadi fokus sidang kali ini.
Pakar menyatakan bahawa Forum Boao kali ini diadakan kebetulan pada masa sebelum tarikh akhir permohonan untuk menjadi negara anggota pengasas Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) iaitu 31 Mac. Isu AIIB tentu akan menjadi salah satu topik utama forum ini.
Baru-baru ini, AIIB menjadi tumpuan media dari dalam dan luar China. Anjuran mengenai penubuhannya dikemukakan oleh Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang ketika melawat negara Asia Tenggara pada bulan Oktober 2013. AIIB, sebuah agensi pelbagai pihak antara kerajaan di rantau Asia, tugas utamanya adalah menyokong pembinaan infrastruktur. Setakat ini, lebih 35 buah negara berhasrat menjadi negara anggota pengasas AIIB, antaranya termasuk China, India, 10 buah negara ASEAN dan beberapa negara Eropah termasuk Britain, Perancis, Jerman, Itali, Luxembourg dan Austria.
Felo Penyelidik dari Institut Isu Antarabangsa China, Wang Taiping menyatakan bahawa walaupun AIIB akan berkembang bersama-sama dengan Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (ADB), tetapi terdapat beberapa negara yang khuatir AIIB akan bersaing dengan ADB yang diketuai oleh Jepun. Negara-negara tersebut mengambil sikap "tunggu dan lihat" untuk memutuskan sama ada mereka akan menganggotai AIIB atau tidak. Forum kali ini dijangka akan memberikan maklumat mengenai AIIB, khususnya bagaimana mencapai persepakatan antara kawasan dan negara untuk menggalakkan pembangunan ekonomi bersama di rantau Asia serta dunia.
Tahun 2015 sentiasa dianggap sebagai tahun pelaksanaan Jalur Ekonomi Laluan Sutera dan Laluan Sutera Maritim Abad ke-21 (OBAOR). Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Laut China Selatan China,Wu Shicun menyatakan bahawa kaedah China untuk menjalankan kerjasama antara kawasan dengan kawasan dan antara negara dengan negara melalui Forum Boao kali ini akan menjadi fokus masyarakat antarabangsa.
Mengenai hal ini, Wang Taiping menyatakan sekiranya negara dan kawasan yang terlibat dapat bersama–sama membangunkan OBAOR, usaha ini tentu akan menggalakkan hubungan ekonomi sekali gus meningkatkan taraf pembangunan serantau dan dunia. Oleh yang demikian, pihak-pihak berkenaan wajar mengambil kesempatan forum kali ini untuk menjadikan lebih banyak negara mengetahui tentang gagasan OBAOR.
Forum Boao tahun ini bertemakan "Masa Depan Asia: Menjejak Komuniti Berkongsi Nasib". Untuk mewujudkan matlamat berkenaan, kerjasama dalam bidang keselamatan amat diperlukan.
Pakar menyatakan bahawa pada tahun-tahun kebekalangan ini, situasi keselamatan di Asia-Pasifik amat rumit dan pergolakan terus berlaku di beberapa tempat. China berdepan dengan cabaran yang amat besar dalam bidang kerjasama keselamatan Asia.
Wu Shicun menyatakan bahawa mekanisme komuniti berkongsi nasib, masalah-masalah yang dihadapi oleh negara-negara rantau Asia-Pasifik serta peranan China di rantau ini pada masa depan akan diberikan perhatian dalam forum kali ini.