Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN, China, Jepun dan Republik Korea (10+3) ke-18 dirasmikan di Baku, ibu negara Azerbaijan semalam. Para peserta mengadakan perbincangan mengenai situasi ekonomi makro serantau dan global, serta kerjasama kewangan 10+3. Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat 10+3 ke-18 turut diluluskan.
Menteri Kewangan China, Lou Jiwei dalam mesyuarat itu menyatakan bahawa entiti ekonomi membangun di Asia perlu berusaha bersama-sama bagi mengintensifkan pembaharuan yang bersifat berstruktur.
Menurut para peserta mesyuarat itu, walaupun situasi ekonomi global bertambah baik, namun pemulihannya masih perlahan, asasnya kurang kukuh dan masih berdepan dengan banyak faktor yang tidak menentu. Bank Pembangunan Asia (ADB) menjangkakan bahawa entiti ekonomi membangun di rantau ini berkemungkinan mencapai pertumbuhan pada kadar 6.3% tahun ini, yang menyumbang 60% kepada pertumbuhan ekonomi global. Bagaimanapun, berdepan dengan persekitaran ekonomi dalam dan luar negara yang semakin rumit, lebih banyak negara Asia mengkaji semula potensi dan model pertumbuhan ekonomi masing-masing.
Menteri Kewangan China, Lou Jiwei ketika berucap dalam mesyuarat itu menegaskan bahawa dalam menghadapi banyak cabaran baharu berikutan krisis kewangan global, entiti ekonomi membangun di Asia perlu meningkatkan kerjasama dan penyelarasan berkaitan dasar makro, serta berusaha bersama-sama untuk mengintensifkan pembaharuan yang bersifat berstruktur supaya mewujudkan pembangunan lestari di rantau ini.
Menurutnya, gagasan "Satu Jalur dan Satu Laluan" (OBAOR) anjuran China berorientasikan membincang, membina bersama dan berkongsi. Gagasan tersebut bukanlah untuk menggantikan mekanisme yang sedia ada, sebaliknya bertujuan menggalakkan negara-negara terlibat menyelaraskan strategi pembangunan dan kelebihan yang saling melengkapi melalui mekanisme berkenaan. Oleh itu, China mengalu-alukan penyertaan negara-negara berkaitan OBAOR dan negara-negara Asia. Negara-negara Asia khususnya perlu melibatkan diri dalam pelaksanaan peraturan antarabangsa dan mempergiat kerjasama Selatan-Selatan, melantangkan suara Asia supaya meningkatkan keupayaan menyeluruh rantau ini.