Segenting Kra merupakan bahagian genting dan sempit yang terletak di wilayah Chumphon dan wilayah Ranong Thailand. Sejak abad ke-17 lagi, Thailand telah mempunyai usul untuk membina terusan di Segenting Kra dan usulan berkenaan dikemukakan secara rasmi semasa pemerintahan raja Dinasti Kelima Bangkok pada lebih 100 tahun yang lalu.
Pada tahun-tahun kebelakangan ini, isu projek pembinaan Terusan Kra sekali lagi disebut oleh negara-negara berkenaan dan kajian berkenaan juga dimulakan secara rasmi. Projek ini melibatkan 10 jenis rancangan. Menurut anggaran awal, pembinaan projek ini akan memakan masa selama sepuluh tahun dan menelan kos USD 28 bilion. Selepas terusan ini dibuka, kapal-kapal tidak perlu melalui Selat Melaka dan terus boleh memasuki Teluk Thailand di Lautan Pasifik menerusi Laut Andaman di Lautan Hindi.
Perbalahan mengenai Terusan Kra sudah wujud sejak bertahun-tahun lamanya. Keputusan muktamad mengenai hal ini masih belum dicapai kerana terdapat makna strategik yang penting di sebalik pembinaan Terusan Kra. Jepun selalu menunjukkan minatnya terhadap projek tersebut dan berhadap dapat memperoleh respons yang positif daripada negara-negara lain. Namun, beberapa negara anggota ASEAN membantah keras penggalian Segenting Kra, antaranya Singapura yang paling kuat membantah projek ini. Sejak beberapa ratus tahun yang lalu, Singapura telah memanfaatkan kelebihan geografinya dan laluan perkapalan Selat Melaka untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara, hingga menjadikannya pusat perdagangan petroleum ketiga terbesar di dunia, selepas London dan New York.








