Cari:
Pelancongan Jalan Sutera Berpotensi Besar
2015-06-16 17:38:16 CRI Cetak

Festival Pelancongan Antarabangsa Jalan Sutera-Dunhuang ke-5 dirasmikan di Jiayuguan, provinsi Gansu pada 16 Jun lalu. Wakil-wakil perniagaan dari 20 negara serta Hong Kong dan Makau, dan media dari sembilan kawasan dan negara termasuk Malaysia telah menghadiri majlis tersebut. Manakala, perwakilan dari 15 negara akan mempromosikan produk pelancongan masing-masing dalam pameran yang diadakan serentak.

Turut menjadi perhatian, Dialog Media berkenaan serta upacara penubuhan Kesatuan bagi Mempromosi Pelancongan Jalan Sutera diadakan pada hari yang sama.

Pengarah Jabatan Pentadbiran Pelancongan Negara China, Li Jinzao dalam ucapannya menyatakan bahawa Gansu merupakan koridor semula jadi yang menghubungkan China dengan Asia Barat dan Eropah. Bahagian Jalan Sutera yang panjangnya 1,600 kilometer terletak di Gansu, menjadikan peranan dan potensi provinsi ini dalam usaha mempromosikan sumber pelancongan di laluan tersebut amat besar.

Tambah Li, China dan negara-negara lain yang terletak di sepanjang Jalan Sutera telah merancang pelbagai aktiviti yang akan dijalankan dalam masa tiga tahun akan datang bagi menaikkan nama Jalan Sutera sehingga menjadi jenama yang dipercayai. Li berpendapat, kerjasama antara kerajaan negara-negara terbabit serta pemegang taruh berkenaan adalah penting.

Dalam tempoh 60 tahun lalu, pelancongan telah menjadi salah satu sektor ekonomi utama dunia. Pada pandangan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pelancongan Dunia (WTO), Zoltan Somogy, pembangunan sektor itu bukan sahaja membantu memperkenalkan sumber pelancongan yang dimiliki sesebuah negara kepada dunia, malah memastikan sumber-sumber tersebut mendapat perlindungan sewajarnya.

Menurut Persatuan Pelancongan Pasifik-Asia (PATA), jumlah pelancong asing ke China dijangka akan bertambah 2.3% setiap tahun dalam masa lima tahun akan datang. Ini akan menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan, khususnya dalam sektor perkhidmatan, serta pembangunan infrastruktur pengangkutan seperti lapangan terbang dan landasan kereta api.

Selain menghadiri acara-acara tersebut, wartawan-wartawan dari Malaysia dan Radio Antarabangsa China (CRI) yang mengikuti rombongan Kembara Laluan Sutera telah melawat ke Xi'an dan Jiayuguan bagi menghayati sendiri sumber pelancongan dan budaya yang terdapat di sana supaya dapat dipromosikan kepada masyarakat Malaysia. Destinasi terakhir rombongan ini sebelum kembali ke Beijing adalah Dunhuang, sebuah lagi lokasi penting dalam laluan Jalan Sutera.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China