Bilangan mangsa yang cedera dalam kejadian letupan di sebuah taman tema di Taipei, Taiwan Sabtu lalu, mencatat 498 orang, antaranya 202 orang daripada mereka cedera parah.
Letupan itu dipercayai berpunca daripada sejenis serbuk yang disembur ke pentas sehingga mencetuskan kebakaran sebelum menyambar ke arah lebih 1,000 penonton yang menyaksikan konsert Color Play Asia di taman tema Formosa Fun Coast di pinggir Taipei itu.
Dilaporkan, antara mangsa berkenaan didapati dua orang dari Tanah Besar China, lima orang dari Hong Kong dan masing-masing seorang dari Malaysia dan Singapura.
Warga Malaysia yang dikenali sebagai Lim Sh Li, pelajar perubatan dari National Taiwan Universiti, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Ren Ai di Taipei City kerana melecur hampir 54 peratus di bahagian lengan dan kakinya.
Mangsa dari Singapura yang bernama Megan Loy, 21, kini dirawat di Hospital Shuang Ho apabila 50 peratus bahagian badannya melecur teruk.