AS dan Cuba akan membuka kedutaan besar di ibu negara masing-masing pada 20 Julai nanti.
Presiden AS, Barack Obama mengumumkan keputusan itu dalam sidang media di Washington semalam. Beliau menyifatkan pemulihan hubungan diplomatik dengan Havana yang terputus selama lebih 50 lalu sebagai satu langkah bersejarah.
Obama berkata, kedua-dua negara tidak sepatutnya dikongkong oleh masa lampau, sebaliknya harus mara ke hadapan.
Dimaklumkan, Setiausaha Negara AS, John Kerry akan melawat ke Cuba untuk merasmikan pembukaan kedutaan besar negara itu di Havana.
Selain itu, Obama juga menuntut Kongres supaya menamatkan sekatan terhadap negara di Amerika Latin itu.