Cari:
Kertas Putih Pertahanan Jepun Undang Bantahan Jiran
2015-07-22 14:19:33 CRI Cetak

Kerajaan Jepun semalam meluluskan Kertas Putih Pertahanan 2015. Selain menegaskan pentingnya hubungan persekutuan dengan Amerika Syarikat (AS), kertas putih itu turut menggembar-gemburkan teori "ancaman China" dengan dalih isu laut, mencerminkan sikap kerajaan Jepun yang nyata berhasrat menjadi sebuah kuasa ketenteraan gergasi.

Kertas putih yang mengandungi 424 halaman itu dibahagi kepada tiga bahagian, iaitu persekitaran penjagaan keselamatan di sekitar Jepun; penjagaan keselamatan dan dasar pertahanan Jepun serta hubungan persekutuan Jepun-AS; dan langkah-langkah untuk mempertahankan nyawa dan harta rakyat, wilayah darat, laut dan udara. Dokumen itu turut menyatakan bahawa ancaman peluru berpandu dari Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) terhadap Jepun semakin meningkat, dan untuk kali pertamanya menyebut tentang risiko serangan militan Negara Islam (IS) ke atas Jepun. Selain itu, kertas putih itu khusus membuka satu bab tentang "isu laut" dan menganggapnya sama penting seperti isu senjata pemusnah besar-besaran (WMD) dan keganasan. Menurut ulasan pakar ketenteraan, kertas putih itu memperlihatkan Jepun yang bertekad untuk menjadi "negara ketenteraan normal".

Menurut juruulas ketenteraan terkenal Jepun, Maeda Tetsuo, kertas putih tersebut memberi laluan kepada Rang Undang-Undang Keselamatan yang sedang dibahaskan oleh Diet. Sejak kembali ke tampuk pemerintahan pada tahun 2012, Abe giat menggalakkan pembaharuan terhadap dasar pertahanan negara itu. Kertas putih ini yang dianggap membelakangi prinsip kedamaian yang ditetapkan dalam perlembagaan serta dasar luar yang damai yang diamalkan negara itu selama ini, nescaya akan dibantah oleh rakyat Jepun.

Kertas putih itu turut dibantah oleh negara-negara jiran Jepun. Jurucakap Kementerian Luar China, Lu Kang semalam menyatakan bahawa kertas putih itu menafikan fakta bahawa pembangunan ketenteraan dan maritim yang dijalankan oleh Jepun adalah normal, sebaliknya sengaja menggembar-gemburkan teori "ancaman China" untuk menimbulkan ketegangan. China membantah keras kertas putih tersebut. Di samping itu, Jabatan Penerangan Kementerian Pertahanan China pula menyatakan, kertas putih itu membuat tuduhan liar dan jahat terhadap China berkaitan isu Laut China Timur, Laut China Selatan, keselamatan siber dan ketelusan ketenteraan, malah memburukkan imej pasukan tentera China.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Korea Selatan pula mendakwa, kertas putih Jepun itu menegaskan lagi kedaulatan Jepun terhadap Pulau Dokdo, satu tindakan yang dilihat sebagai provokasi dan menafikan pencerobohan Jepun semasa Perang Dunia II, yang bakal memburukkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China